SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU MOHD KARIZAM DAN SEMOGA ANDA SEMUA MENDAPAT MANFAAT HASIL DARIPADA BAHAN YANG DIPAPARKAN DALAM BLOG INI.

Friday 28 September 2012


Belanjawan 2013 Bukti Komitmen PM Dekati Semua Golongan Rakyat

Sekali lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus konsisten dengan komitmennya untuk mendahulukan rakyat apabila Belanjawan 2013 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat mendekati hampir semua golongan rakyat.
Belanjawan 2013 yang bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati", merangkumi lima fokus utama selaras dengan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang menjadi tonggak pentadbiran beliau. Lima fokus itu ialah Merangsang Aktiviti Pelaburan, Memperkasa Pendidikan dan Latihan, Membudaya Inovasi, Meningkat Produktiviti, Konsolidasi Fiskal danMempercekap Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Mensejahterakan Rakyat.
Kanak-kanak berlainan keupayaan (OKU), petani, nelayan, pesara kerajaan, bekas tentera tanpa pencen, pengusaha bas sekolah, pelajar dan pengguna feri diSarawak, Labuan dan Sabah adalah antara kumpulan yang mendapat perhatian kerajaan.
Dengan pengukuhan ekonomi negara berikutan hasil kerajaan bagi tahun depan dianggarkan RM208.6 bilion, kerajaan akan terus mengurangkan defisit kepada empat peratus. Seperti diharapkan, Belanjawan 2013 yang dibentangkan selama dua jam 15 minit memberi peruntukan besar kepada pendidikan iaitu sejumlah RM38.7 bilion atau 21 peratus daripada keseluruhan belanjawan.
Belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 bilion berbanding RM232.8 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2012. Najib juga memperkenalkan beberapa insentif baharu dalam Belanjawan tersebut, antaranya melaksanakan projek perintis taska kanak-kanak OKU, Skim Perlindungan Takaful Padi kepada pengusaha sawah, perluasan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dan bependapatan RM2,000 sebulan.
Kumpulan belia yang berumur 21 hingga 30 tahun turut menikmati rebat "one-off" RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G, pemberian bonus kepada penjawat awam sebanyak satu setengah bulan gaji. Bagi meringankan kos rawatan rakyat, kerajaan juga akan membuka tambahan 70 buah Klinik 1Malaysia di seluruh negara pada tahun depan, manakala rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM3,000 layak memohon untuk mendapatkan diskaun 50 peratus kadar tambang perkhidmatan komuter KTMB.
Seiring dengan falsafah kerajaan yang sedia mendengar masalah rakyat, kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion untuk membina 123,000 unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik seluruh negara. Selain mengumumkan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilo, Najib turut menyeru para peniaga supaya tidak membebankan rakyat dengan kenaikan harga barangan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menyatakan bahawa bajet kali ini merupakan belanjawan terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-13.

 

Wednesday 26 September 2012


Pemberi Rasuah Mesti Diperangi
Akhbar Satar

Apakah masyarakat tahu bahawa perbuatan memberi rasuah adalah satu jenayah. Kesalahan pemberi adalah sama dengan penerima dan jika disabitkan, seseorang itu berhadapan hukuman berat termasuk penjara dan denda. Rupa-rupanya ada juga antara kita tidak mengetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.
Ada juga pandangan segelintir masyarakat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah saja. Selama ini, masyarakat awam seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral. Seperti kata pepatah ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya.
Penulis ingin mengingatkan bahawa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jelas memperuntukkan perbuatan memberi suapan rasuah adalah kesalahan serius. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.
Mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, memberi atau menawarkan rasuah adalah kesalahan yang boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
SPRM juga sudah melancarkan kempen membanteras rasuah yang turut memberi tumpuan kepada pemberi sogokan berbanding fokus utama kepada penerima sebelum ini yang kebanyakannya membabitkan penjawat awam.
Kita perlu ingat bahawa penerimaan hadiah boleh bertukar menjadi rasuah jika dalam proses pemberian berkenaan ada unsur ‘niat jahat’ untuk mendapatkan sesuatu balasan daripada penerima sebagai pelaburan untuk mendapat sesuatu pada masa akan datang.
Sesuatu pemberian atau penerimaan yang mempunyai ciri ‘niat jahat’ boleh dikesan dan dinilai dalam keadaan yang luar biasa dan tidak munasabah. Pemberi perlu ingat bahawa perbuatan memberi ini amat berbahaya kerana penerima boleh menyimpan bukti yang mencukupi untuk digunakan pada masa depan. Penerima jika berasa terancam juga akan menggunakan maklumat sedia ada untuk membuat laporan kepada SPRM serta-merta. Apabila sesuatu membabitkan wang ringgit, ‘kawan’ yang pernah tidur sebantal pun tidak dipedulikan.
Dari sudut agama pula, perbuatan mereka ini dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka.”
Penulis juga ingin mengingatkan bahawa kita perlu berbalik kepada soal moral dan integriti. Jika ditahan kerana melakukan kesalahan, kita perlu bersedia untuk membayar kompaun atau pergi ke mahkamah, jangan beri rasuah. Cuba elak daripada melakukan kesalahan supaya kita tidak terjebak dalam amalan yang tidak baik ini.
Pada pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa juga sogokan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen menerusi media massa. Seksyen ini menghendaki setiap cubaan sogokan wajib dilaporkan kepada SPRM atau polis serta-merta.

Namun begitu, kajian ahli kriminologi menjelaskan bahawa rasuah adalah jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Daripada sepuluh kes rasuah yang berlaku hanya satu saja dilaporkan. Kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah daripada kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan bersama.

Balasan Allah SWT kepada mereka yang menerima dan makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi, kehilangan harta benda dan harta penerimaan hasil dari rasuah itu dihabiskan oleh anak dalam sekelip mata. Ada kalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga Hari Akhirat kelak, tunggulah!
 Kecenderungan rasuah berpunca daripada ceteknya pengetahuan agama, kurangnya iman dan takwa, naluri tamak, desakan kebendaan dan untuk memuaskan nafsu semata-mata. Ibnu Khaldun dalam karya agungnya bertajuk Muqaddimah mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan keinginan untuk mengecap kemewahan hidup berlebihan mendorong mereka yang mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan rasuah.
Antara kesan buruk gejala rasuah ia menimbulkan masalah seperti kemerosotan ekonomi, ketidakadilan, pengabaian kepentingan masyarakat dan hukuman yang menanti adalah berat dan akhirnya boleh meruntuhkan sesebuah negara.
Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Pererat Integrasi Rumpun Bumiputera

Oleh : Prof. Dr. Teo Kok Seong, UKM

Wacana mengenai Hari Malaysia sejak diraikan pada 2010, rata-ratanya berkisar pada wujudnya perasaan prasangka antara kita di Semenanjung dan juga di Sabah dan Sarawak. Ia dikatakan wujud kerana beberapa hal. Antaranya kedudukan geografi yang dipisahkan Laut China Selatan dan kepelbagaian etnisiti yang rencam. Ini menyebabkan kurangnya interaksi dan kefahaman antara kita.

Memang semua wilayah, iaitu
Semenanjung, Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah awal, corak kependudukan dan perkembangan ketamadunan yang tidak sama. Ia dibangkitkan pula dalam konteks adanya jurang antara kaum Melayu di Semenanjung dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sehubungan ini, mereka digambarkan sebagai kelompok berlainan.

Semua kaum Bumiputera bersaudara


Perbezaan ini ditonjolkan sehingga wujud pemikiran bahawa semua kaum Bumiputera ini bersetentangan. Sesungguhnya mereka adalah bersaudara sebagai sanak Nusantara. Persaudaraan ini bukan sekadar retorik untuk mengambil hati semua pihak dalam konteks Hari Malaysia, khususnya integrasi nasional. Mereka memang sekaum sekadim dan buktinya boleh diperoleh dengan kukuh dalam bidang bahasa.

Sehubungan ini, Linguistik Sejarah dan Linguistik Perbandingan mempunyai banyak maklumat bahawa bahasa Melayu mempunyai pertalian rapat dengan bahasa Kadazandusun dan Iban serta puluhan bahasa Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak. Begitu juga halnya di antara bahasa Bumiputera di Sabah dan Sarawak, yang bukan saja memperlihat pertalian erat, tetapi memang berasal daripada satu keluarga bahasa sama.

Pertalian ini sebenarnya menunjukkan bahawa Bumiputera Melayu, Kadazandusun, Iban dan lain-lain ikut mempunyai pertalian kekeluargaan bangsa. Rumpun Bumiputera yang menaungi semua, termasuk kaum bukan asal, iaitu Cina dan India, baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, ialah Austronesia atau Malayo-Polinesia.

Kosa kata dan pola nahu adalah antara unsur penting yang diteliti untuk memperlihat hubungan kekeluargaan ini. Kata bilangan seperti angka satu sehingga 10 dihemati untuk tujuan pembuktian ini. Sebagai contoh, angka dua wujud dan disebut dengan pelbagai kelainan. Selain dua, ia juga disebut di Sarawak sebagai duah dalam bahasa Kelabit di Bario dan duak oleh kaum Kayan di Long Miri. Di Sabah, ia disebut sebagai dueh oleh kaum Lun Dayeh di Sipitang dan duoh dalam Bahasa Paitan di Membangan.

 Persamaan perlu ditegas setiap masa.

Pembentukan rangkai kata dalam bahasa Bumiputera di semua wilayah Malaysia yang juga mengikuti kaedah sama, adalah pembuktian selanjutnya. Susunan unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkan, wujud dalam bahasa Bumiputera ini. Sebagai contoh, ungkapan
aik angat dalam bahasa Iban dan waig tahasu dalam bahasa Kadazandusun adalah padanan susunan untuk air panas dalam bahasa Melayu.

 Justeru, kita bersaudara dalam konteks sanak Nusantara, kaum Bumiputera di ketiga-tiga wilayah Malaysia ini, perlu bukan saja selalu memperkata persamaan ini, tetapi menegaskan pada setiap masa, khususnya dalam konteks entiti politik Malaysia, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selaku rakyat asal. Dalam konteks yang sama, kaum Bumiputera Malaysia juga bersaudara dengan kaum Bumiputera lain di Nusantara. Hal ini terbukti apabila bahasa Jawa dan lain-lain di Indonesia serta bahasa Tagalog dan lain-lain di Filipina, diteliti. Semua bahasa ini juga didapati sekeluarga bawah Rumpun Austronesia.

Dengan bukti bahasa ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghapuskan sindrom bahawa kami di sini adalah orang Semenanjung, anda semua di sana adalah orang Sarawak, dan mereka nun di sana adalah orang Sabah. Kita sebetulnya, khusus kaum Bumiputera dan juga kaum bukan Bumiputera, adalah orang Malaysia.


Sehubungan ini, pengenalan kita perlu mengambil dimensi baharu, dengan menonjolkan jati diri Malaysia sebagai unsur utamanya. Justeru, kita adalah orang Malaysia Semenanjung, orang Malaysia Sabah dan orang Malaysia Sarawak, apabila perlu disebut wilayahnya. Jika tidak, kita semua adalah orang Malaysia!


Sesungguhnya solidariti Nusantara untuk integrasi nasional, selain kebenaran sejarah, adalah sukma semasa dan sentimen kekitaan bagi semua orang Malaysia, sebagai bangsa Malaysia.


 

 

Wednesday 5 September 2012

Karangan : Kepentingan Kegiatan Kokurikulum dan langkah- langkah mengalakkan pelajar mengikutinya

PENDAHULUAN

       Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurangnya satu daripada setiap aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya. Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan.Oleh itu,terdapat pelbagai langkah dapat menggalakkan pelajar mengikuti aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat unntuk pemilihan ke universiti.

Isi Kandungan :

Kepentingan kokurikulum (2 isi)

Langkah-langkah menggalakkan pelajar menyertai kokurikulum (2 isi)

Kepentingan :

      Antara kepentingan kegiatan kokurikulum ialah kokurikulum dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar. Sesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Sebagai contohnya, ada pelajar yang tidak mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi setelah menyertai kegiatan kokurikulum, bakatnya terserlah dan terus bergiat dalam acara yang diminati, yang akhirnya menjadi juara di kelabnya. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan pada peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya negara.

       Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Semangat perpaduan ini adalah amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya, pelajar berbilang kaum mewakili pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam pasukan bola sepak. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh bercerai roboh.
      
Langkah :

        Antara langkah yang perlu dilaksanakan ialah pihak sekolah perlulah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti kokurikulum dari masa ke masa. Tindakan ini perlu dilakukan kerana banyak aktiviti kokurikulum di sekolah dijalankan bagai melepaskan batuk di tangga sahaja. Pelajar berasa kecewa kerana kegiatan yang dijalankan tidak menarik minat mereka. Kegiatan yang dijalankan hanya untuk memenuhi jadual. Sebagai contohnya, pelajar datang ke sekolah hanya bermain bola sepak tanpa bimbingan secara sistematik. Mereka berpendapat bahawa mereka tidak perlu datang untuk bermain bola sepak, sebaliknya mereka boleh bermain di kawasan taman tempat tinggal mereka. Oleh itu, pihak sekolah mestilah memastikan bahawa aktiviti yang dijalankan mestilah benar – benar mendatangkan manfaat kepada mereka.               
                                                                              
       Selain itu, pihak sekolah seharusnya menubuhkan lebih banyak persatuan dan kelab yang baharu yang sesuai dengan minat dan kemahiran para pelajar. Sejajar dengan perkara ini, pihak sekolah sepatutnya menjalankan kajian tentang minat pelajar dalam jenis aktiviti kokurikulum yang ingin diceburi dan seterusnya berusaha untuk membentuk kelab atau persatuan demi kebajikan pelajar. Dengan itu, para pelajar akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyertai aktiviti kokurikulum yang diminati. Sebagai contohnya, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab komputer untuk pelajar yang meminati bidang teknologi maklumat. Hal ini sememangnya akan dapat menarik minat para pelajar untuk bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum tersebut kerana tak kenal maka tak cinta.

PENUTUP
                                                                    
       Kesimpulannya, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang. pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Selain itu, kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa harus diperkukuh supaya segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.

Tingkatkan martabat tingkatan enam


Klang, Selangor

SISTEM pendidikan negara sedang melalui proses penambahbaikan seiring dengan Program Transformasi Kerajaan. Saya melihat ia merupakan satu pendekatan positif untuk dijadikan motivasi kepada kalangan murid dan pelajar yang sedang melalui alam persekolahan, lebih-lebih lagi bagi kalangan pelajar tingkatan enam bawah dan atas (Pra-U bawah dan atas).
Banyak pihak mula membangkitkan mengenai isu kalangan pelajar Pra-U ini yang mula hilang minat untuk meneruskan pengajian mereka kerana beranggapan status mereka tiada bezanya dengan pelajar-pelajar arus perdana, tingkatan satu hingga tingkatan lima.
Mereka merasakan bahawa mereka hanya seperti pelajar sekolah biasa sedangkan mereka melalui kaedah pembelajaran secara semester dan setaraf dengan pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi yang lain. Selain itu, taraf Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal mereka miliki patut setaraf dengan diploma yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi.
Bagi memastikan keberkesanan sistem pendidikan Pra-U ini agar lebih produktif dan berkualiti, pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil pendekatan pro-aktif dengan menyediakan sistem pengurusan yang berasingan dengan sistem pengurusan persekolahan arus perdana. 
Ini dibuat melalui pewujudan jawatan khas penolong kanan dan guru-guru khas yang berpengalaman untuk mengajar tingkatan enam. Langkah ini diyakini mampu menghasilkan natijah yang baik untuk masa depan pelajar-pelajar Pra-U.
Sehubungan itu, bagi menarik minat kalangan pelajar-pelajar Pra-U ini untuk meneruskan pengajian mereka, adalah lebih baik jika mereka ini dilayan sebagaimana pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi, walaupun pada dasarnya mereka belajar di sekolah biasa. 
Berilah peluang kepada kalangan pelajar Pra-U ini untuk menghadiri kelas harian mereka tanpa memakai pakaian seragam sekolah bagi membezakan mereka bukanlah pelajar sekolah arus perdana. 
Berilah kelonggaran kepada pelajar ini untuk memakai pakaian yang kemas seperti memakai seluar slack, berkemeja biasa atau baju T berkolar serta berkasut hitam. Yang penting mereka diwajibkan berpakaian kemas sewaktu menghadiri kuliah di kelas.
Jumlah pelajar juga harus ditetapkan dalam kalangan 30 orang dalam satu-satu kelas bagi memastikan tumpuan guru dan murid lebih sempurna demi menghasilkan pelajar yang berkualiti dan terbaik. 
Sehubungan itu, pihak Kementerian Pelajaran perlu memastikan jumlah guru yang mencukupi sementara pihak pengurusan sekolah tidak menugaskan guru-guru yang mengajar kelas-kelas Pra-U untuk turut mengajar pelajar-pelajar arus perdana.
Saya sangat yakin, jika langkah drastik ini dapat dilaksanakan secara beransur-ansur, ia mampu menarik semula minat kalangan pelajar Pra-U untuk meneruskan pengajian mereka. 
Pada waktu yang sama mampu menjadi motivasi kepada pelajar-pelajar arus perdana untuk meneruskan pengajian mereka dalam pengajian Pra-U atau tingkatan enam bawah dan atas.

Sumber : Utusan Malaysia Online 31 Julai 2012

Tuesday 4 September 2012

Jangan takut Seksyen 114A Akta Keterangan 1950


KUALA LUMPUR 28 Ogos - Orang ramai dinasihatkan tidak perlu takut terhadap pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 kerana ia dibuat semata-mata untuk melindungi golongan yang teraniaya di alam siber.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zulfakar Ramlee berkata, hanya golongan yang cenderung menyalahgunakan teknologi maklumat (IT) dan internet yang akan takut terhadap pindaan akta berkenaan.

“Pindaan akta itu dilihat dapat mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak tersebut iaitu golongan yang menyalahgunakan Internet dan golongan yang teraniaya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas isu pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 yang heboh diperkatakan di alam maya sehingga menyebabkan Kabinet kembali meneliti pindaan akta tersebut selepas diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbuat demikian.

Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan terhadap Akta Keterangan yang digazet Julai lalu dan mendapat pelbagai reaksi para pengguna internet.

Menurut Zulfakar, peruntukan dalam bentuk ‘andaian’ itu bukan perkara baru dalam undang-undang malah telah diguna pakai dalam akta-akta lain juga.

“Dalam kesalahan lain tidak ada pula orang hendak pertikaikan sedangkan isu tahap pembuktian (standard of proof) tetap sama di akhir sesuatu kes pendakwaan iaitu tahap pembuktian melampaui sebarang keraguan yang munasabah sebagaimana di dalam kes kesalahan-kesalahan jenayah yang lain adalah diperlukan," katanya.

Katanya, pindaan terhadap akta berkenaan tidak bermaksud untuk menzalimi suspek kerana andaian atau dakwaan itu boleh disangkal dengan tahap pembuktian yang ringan.

Sebaliknya kata beliau, pihak berkuasa atau pendakwaraya yang pada akhirnya memikul beban membuktikan kesalahan tersebut melampaui keraguan munasabah.

“Pihak polis akan membuat siasatan terlebih dahulu, selepas mendapat kepastian bahawa entri atau posting yang menyalahi undang-undang itu dihantar atau ditulis oleh suspek, barulah pendakwaan akan dibuat," ujarnya.

Sementara itu, peguam Khairul Mukhtar pula berkata, pelaksanaan akta itu perlu bagi mengawal pengguna Internet khususnya daripada mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya yang bercanggah dengan prinsip undang-undang.

Karangan : Kebaikan & Keburukan Laman Sosial

Pendahuluan


       Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, “Twitter” dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Laman sesawang rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Remaja kini telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja. 

Isi Kandungan:

Kebaikan (2 isi)

Keburukan (2 isi)

Kebaikan
Isi Pertama :

       Sebagaimana yang kita ketahui,penggunaan laman sosial dapat menambah kenalan yang baru di samping hubungan yang telah lama terputus dapat dieratkan semula. Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah terputus hubungan antara satu sama lain. Laman sosial ini digunakan sebagai suatu medium utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang telah diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain. Gambar yang telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Perkara ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi jelaslah bahawa penggunaan laman sesawang sosial boleh menambahkan kenalan yang baru.

Isi Kedua :

Selain itu,ramai remaja juga menghabiskan masa mereka dengan laman sosial. Dengan adanya laman sesawang sosial, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan melayari facebook. Bagi mereka yang bijak, di samping mengisi masa lapang ada antara mereka membuat bisnes dan membuat promosi melalui laman sesawang sosial seperti Facebook dan Twitter. Mereka juga dapat menjadikan laman sesawang sosial tersebut sebagai alternatif untuk menambahkan pendapatan bulanan mereka. Orang ramai boleh membeli dengan mengklik di laman sesawang dan barangan tersebut akan dihantar melalui pos laju. Siapa sahaja yang berminat untuk membeli barangan tersebut hanya membayar dengan memasukan wang ke dalam bank yang telah ditetapkan oleh penjual. Oleh itu, medium ini dapat menjimatkan masa dan tidak perlu bersesak-sesak di pusat membeli belah untuk membeli sesuatu barangan.


Keburukan
Isi Pertama :

Penggunaan laman sosial bukan sahaja mendatangkan kesan yang positif malah mendatangkan kesan negatif iaitu penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut. Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian, setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.

Isi Kedua :

Selain itu,penggunaan laman sosial menyebabkan golongan remaja menjadi lalai dalam melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman sosial juga memberikan kesan kepada prestasi pelajaran dalam kalangan remaja. Hal ini akan menyebabkan mereka mengabaikan pelajaran kerana tiada masa yang diperuntuk untuk mengulang kaji pelajaran.Apabila berlangsungnya sesuatu peperiksaan markah yang diperolehi merosot dari peperiksaan sebelum ini menyebabkan mereka tercari-cari kesilapan yang telah dilakukan untuk diperbetulkan. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman menyebabkan seseorang itu membazir masa.     

Penutup

Kesimpulannya, penggunaan laman sosial ini mendatangkan pelbagai kebaikan dan keburukan kepada golongan remaja. Namun impak negatif yang wujud harus diberi perhatian yang serius oleh pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laman sesawang sosial yang tidak bertanggungjawab. Sebagai manusia yang berakal pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk. Pepatah ada mengatakan bahawa “mencegah itu lebih baik daripada mengubati".

Gejala 'Ah Long'


PENGENALAN (Ah Long)
• Ialah kumpulan pemberi pinjaman haram.Juga dikenali dalam masyarakat India sebagai Chettiar,manakala mereka ini dikenali sebagai Tai Ee Long dan Ah Long dalam masyarakat Cina dan masyarakat Melayu masing-masing.

FAKTOR MASYARAKAT MEMILIH AH LONG
1. Negara ini,isu sosio budaya dan perjalanan kehidupan rakyat yang sering disogok dan ditekankan dengan keperluan kehidupan yang melewati kemampuan.Untuk mengelak kemiskinan terus membelenggu,masyarakat mengambil jalan singkat meminjam wang dengan ceti-ceti haram ini tanpa mengira kesan masa depan.

2. Tawaran pinjaman mudah tanpa prosedur dan syarat yang terlalu ketat ternyata menjadi umpan laris mereka kepada orang ramai.Tawaran menarik seperti pinjaman mudah dan segera selain kemahiran ceti-ceti haram ini mengiklankan dan mempromosikan perkhimatan mereka.Syarat pinjaman yang terlalu ketat dan masa panjang yang diambil untuk meluluskan pinjaman oleh agensi dan syarikat kewangan yang sah.

3. Kelewatan pihak berkuasa meluluskan pemohonan lesen itu menyebabkan kegiatan ceti haram semakin berleluasa sehingga ada yang berani bertindak ganas termasuk mencederakan atau mengugut peminjam yang gagal melangsaikan hutang.

4. Ibarat menangguk di air keruh,ceti haram menghulurkan pinjaman wang dalam saat-saat mangsa kesempitan duit.Misalnya,ada yang perlukan duit untuk kos perubatan,untuk meneruskan kesinambungan perniagaan,dan yang tidak boleh dimaafkan-berjudi.


KESAN-KESAN KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA
1. Kegiatan ceti haram boleh mengancam kesejahteraan hidup rakyat berpendapatan rendah.Peminjam sudah terikat dan tidak boleh terlepas terhadap apa yang dikenakan kepada mereka sebagai syarat pinjaman.Ceti haram menjadi pemeras sehigga ramai orang menderita terutama mereka yang perlukan wang atau berhutang dengan ceti haram.

2. Kegiatan ceti haram ini diklasifikasikan sebagai satu jenayah.Ini kerana ia ada kaitan dengan kes pergaduhan,bunuh dan sebagainya.Apa tidaknya,peminjam akan tertekan kerana setiap kali gagal membayar pinjaman pada waktu ditetapkan,jumlah hutang bertambah.

3. Kekejaman Ah Long memburu dan menganiayai mereka yang gagal melangsaikan hutang juga dilaporkan semakin berleluasa.

4. Kegiatan meminjam wang daripada ceti-ceti haram boleh memporak-porandakan rumah tangga dan memusnahkan nasib masa depan mereka.Banyak kes yang melibatkan peminjam yang sanggup nekad membunuh diri bersama ahli keluarga mereka malah menghadapi banyak tekanan.

LANGKAH &USAHA/CARA MENANGANI/MEMBANTERAS
1. Penubuhan Badan Peyelarasan Hutang Kecil Rakyat akan dapat membantu mereka yang berhutang untuk tampil kehadap membincangkan hutang-hutang mereka dengan jalan penyelesaian yang paling mudah dan menguntungkan kedua-dua pihak.

2. Pihak berkuasa terpaksa menubuhkan apa yang dikenali sebagai “jawatankuasa kecil peminjam wang” di seluruh Negara bagi memantau kegiatan itu.Usaha ini perlu diperluaskan dan dikerah keseluruh Negara disamping perlunya kerjasama erat semua polis sendiri dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk campur tangan sekiranya urusniaga syarikat pinjaman wang itu membabitkan perlakuan jenayah.

3. Polis dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah bersetuju mengehadkan pengeluaran permit berkenaan bagi memudahkan urusan pemantauan dan penguatkuasaan.

4. Syarikat kewangan dan bank haruslah memperluas dan menyediakan pelbagai bentuk pinjaman kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa kepada peminjam ceti haram.
• Prosedur yang lebih mudah dan tidak memerlukan cagaranyang terlalu banyak atau ketat.
• Mempercepatkan pemberian pinjaman untuk golongan yang terdesak dan menghadapi masalah kewangan yang serius.

5. Tindakan undang-undang haruslah dikenakan ke atas ceti haram yang melanggar peraturan pinjaman wang.
• Pihak polis dan pihak berkuasa dibenarkan mengambil tindakan terhadap ceti haram yang melanggar peraturan.
• Pindaan terhadap Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dengan menaikkan kadar denda maksimumdan hukuman penjara serta rotan terhadap pesalah.
• Mengawal penerbitan iklan membabitkan pemberi pinjaman oleh ceti haram daripada bermaharajalela.

6. Kesedaran tentang kesan buruk akibat meminjam daripada ceti haram.
• Kempen secara besar-besaran (melalui akhbar atau media elektronik) perlu dilakukan bagi menyedarkan orang ramai tentang padah meminjam daripada ceti haram ini.
• Anggota masyarakat perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan dengan aktiviti pinjaman haram.

Pengajian Am 2 : Bahagian C


Petua am soalan

Sebelum mula membuat soalan, baca kedua-dua pilihan soalan yang diberikan dengan teliti terlebih dahulu - jangan tergesa-gesa untuk menjawab soalan yang pertama kerana anda mungkin lebih yakin untuk menjawab soalan yang kedua. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, membaca adalah lebih menjimatkan masa berbanding menyiapkan soalan dahulu dan menyesali tidak menjawab soalan yang satu lagi itu (yang lebih mudah!).

Untuk soalan (i) untuk kedua-dua laras (sastera dan sains), jawab soalan dalam satu ayat penuh sahaja. (Ayat kedua tidak akan diberi markah.) Dalam soalan ini, calon dikehendaki menjawab mengikut maksud tersurat yang (memang) terdapat dalam petikan, tetapi ayat tersebut tidak boleh disalin bulat-bulat daripada petikan! 

(Salin bulat-bulat = tiada markah, saya pernah membuat kesilapan ini banyak kali!) Ayat jawapan mestilah sama maksud dengan ayat dalam petikan tetapi dengan perubahan istilah hampir. Teknik ini seakan-akan membuat soalan pertama pemahaman rumusan dalam BM SPM -ingat lagi? ;)

Untuk soalan (ii), pembahagian markah adalah 8 markah, iaitu 2 markah isi + 4 markah huraian + 2 markah bahasa. 

Format soalan :

- Isi 1
  * huraian 1 kepada isi 1
  * huraian 2 kepada isi 1

- Isi 2
  * huraian 1 kepada isi 2
  * huraian 2 kepada isi 2

Jawapan ini perlu ditulis dalam bentuk rumusan pendek yang tidak melebihi 50 patah perkataan. Jawapan boleh ditulis dalam 1 atau 2 perenggan tetapi untuk kemudahan pecahan isi saya akan mencadangkan penulisan jawapan dalam 2 perenggan.

Contoh soalan

Laras sastera
(soalan dipetik daripada buku Lembaran Praktis 900/2 Pengajian Am STPM, muka surat 8, soalan 4)

"...Kebanyakan masalah tingkah laku kanak-kanak adalah disebabkan oleh cara mereka didisiplinkan oleh ibu bapa, sama ada tegas, terlalu bermanja atau sederhana dan liberal. Corak disiplin yang berubah-ubah menyebabkan anak-anak gelisah dan keliru. Keadaan ini tidak membantu ibu bapa menyelesaikan masalah tingkah laku anak-anak mereka."
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada 'Mengawal Tingkah Laku Kanak-Kanak' oleh Dr. Teoh Hsien-Jin, Mingguan Malaysia. 14 Ogos 2005)


i. Pada pendapat anda, apakah punca masalah anak-anak tidak dapat diselesaikan oleh ibu bapa?

ii. Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan cara untuk mengubah tingkah laku kanak-kanak yang bermasalah.

Cadangan jawapan : (Isi, huraian)

i. Punca masalah anak-anak tidak dapat diselesaikan oleh ibu bapa ialah pengunaan cara disiplin oleh ibu bapa yang tidak menentu terhadap anak-anak mereka. 
(ayat asal, cara mereka didisiplinkan oleh ibu bapa...Corak disiplin yang berubah-ubah...)

ii. Salah satu cara untuk mengubah tingkah laku kanak-kanak yang bermasalah ialah dengan melaksanakan hukuman yang sesuai, iaitu mengikut umur dan dengan tujuan memberikan pengajaran kepada mereka. Selain itu, ibu bapa harus mengajar tingkah laku yang baik kepada mereka. Penegasan tabiat baik dan pemberian ganjaran boleh digunakan untuk mencapai tujuan tersebut.
(50 patah perkataan)


Laras sains
(soalan dipetik daripada buku Lembaran Praktis 900/2 Pengajian Am STPM, muka surat 14, soalan 4)



"......Makanan segera wajar dikenali sebagai makanan remeh kerana kekurangan zat. Pengeluar makanan segera menyangkal dakwaan dengan mengatakan makanan segera mempunyai khasiat dan mempromosikan melalui iklan dan penajaan. Iklan memaparkan makanan segera adalah selamat dimakan dan mempunyai banyak khasiat."
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Buletin Pengguna, Januari 2008)

i. Apakah rasional pengeluar makanan segera mempromosikan makanan segera?

ii. Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, huraikan impak makanan segera kepada kanak-kanak.

Cadangan jawapan : (Isi, huraian)

i. Rasional pengeluar makanan segera mempromosikan makanan segera ialah makanan segera berkhasiat dan boleh dimakan tanpa keraguan. 
(ayat asal: memaparkan makanan segera adalah selamat dimakan dan mempunyai banyak khasiat)

ii. Salah satu impak makanan segera kepada kanak-kanak ialah penjejasan kesihatan mereka. Makanan segera mempunyai perisa, pengawet dan pewarna yang akan menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak. Selain itu, pemakanan makanan segera dengan kerap akan mengakibatkan tabiat pemakanan yang tidak seimbang. Makanan segera yang kekurangan zat dan terlebih lemak merupakan diet yang kurang ideal.
(50 patah perkataan)

Sumber:


TEKNIK MENJAWAB SOALAN GRAF BAR

Teknik Menjawab Soalan : Graf Bar

Pendahuluan
1.  Teliti dan fahami graf bar yang diberikan.
2.  Kenal pasti pemboleh ubah yang dinyatakan pada bahagian tajuk graf bar.
3.  Tulis 'Graf bar ini menunjukkan ... (rujuk bahagian tajuk sebagai panduan)
4.  Nyatakan jumlah keseluruhan dan buat perbandingan antara jumlah keseluruhan mengikut tahun yang diberikan (dalam bentuk nilai mutlak dan peratusan)

Isi dan Huraian
1.  Calon harus memberikan sekurang-kurangnya empat isi.
2.  Kemukakan idea perubahan secara mendatar (perubahan mengikut tahun) terlebih dahulu.
3.  Huraikan perubahan nilai mutlak atau peratusan perubahan.
4.  Nyatakan alasan yang menyebabkan perubahan data tersebut (berdasarkan kehendak soalan)
5.  Kemukakan idea perbandingan secara menegak (bandingkan pemboleh ubah bagi satu-satu tahun yang dipilih), misalnya amaun pemboleh ubah yang paling tinggi dan amaun pemboleh ubah yang paling rendah.
6.  Berikan huraian atau hujah tentang nilai mutlak atau peratusan sumbangan daripada jumlah keseluruhan bagi tahun berkenaan.
7.  Perenggan yang melibatkan analisis pengetahuan perlu diasingkan daripada perenggan analisis data jika soalan meminta pandangan calon.

Kesimpulan
Tulis secara tingkas gambaran keseluruhan daripada data atau maklumat yang diberikan dalam graf bar.

Sumber :

Soalan Esei P. Am 1990-2010

STPM 1990
1. “Pada tahun 1989, sejumlah $352 juta daripada perbelanjaan sektor ekonomi kerajaan Malaysia tertumpu kepada pembiayaan pertanian dan infrastruktur luar Bandar. Nilai ini merupakan 26 peratus daripada jumlah peruntukan bagi pertanian dan pembangunan luar Bandar. Ini memcerminkan kesungguhan kerajaan untuk membangunkan kedua-dua bidang tersebut.”
Bincangkan kaitan di antara pembangunan infrastruktur dengan kemajuan di luar bandar.

2. “Dalam masyarakat moden hari ini,sukan bukan sahaja merupakan perpaduan masyarakat, sukan juga merupakan potensi sebagai satu industri yang banyak menawarkan pelbagai peluang, khususnya kepada peniaga, usahawan dan para profesioanl.Sejauh manakah sukan dapat dimajukan sebagai satu industri yang boleh memberi sumbangan yang besar di bidang sosioekonomi di Malaysia.

3. Laporan Kesihatan Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menganggarkan bahawa dalam tahun-tahun 70-an sahaja, - 80 peratus daripada semua jenis penyakit yang dilaporkan berpunca daripada air.- Hampir 6 juta kanak-kanak di negara Dunia Ketiga meninggal dunia akibat daripada penyakit cirit-birit yang disebabkan air- 30juta orang di seluruh dunia menghidap penyakit buta yang disebabkan oleh cacing halus yang terdapat pada sejenis lalat yang membiak dalam air.Cadangkan langkah-langkah yang berkesan untuk mengawal wabak penyakit yang disebabkan oleh air.

4. Sejak penemuan kaedah penjanaan tenaga atom oleh Otto Hahn dan Fritz Strassman pada tahun 1939 , harapan mengatasi krisis tenaga yang dihadapi sekarang adalah sangat cerah.Sejauh manakah anda bersetuju dengan pendapat ini?

STPM 1991
1. Apabila dasar penswastaan agensi-agensi kerajaan diperkenalkan, ramai yang berasa curiga kerana mereka menganggap dasar penswastaan hanya akan menguntungkan pihak swasta tanpa mengira kepentingan awam. Walaupun pihak kerajaan cuba menyakinkan orang ramai tentang dasar penswastaannya, namun masih ada pihak yang tidak bersetuju dengan dasar tersebut. Bagaimanapun kerajaan mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk meneruskan dasar penswastaannya.Huraikan sebab-sebab dasar penswastaan dilaksanakan oleh kerajaan dan bincangkan masalah-masalah yang dihadapi dalam melaksanakan dasar ini.

2. Rasuah adalah suatu amalan yang amat mudah merebak dalam sistem hidup manusia hingga boleh meruntuhkan struktur masyarakat itu sendiri. Cara rasuah merebak seumpama kanser yang membunuh setiap tisu anggota secara senyap dan akhirnya membunuh pesakit berkenaan.
Bincangkan sebab-sebab berlakunya amalan rasuah dan kesannya terhadap masyarakat.

3. Kesedaran tentang kepentingan hutan mula dirasai oleh masyarakat umum sejak berlakunya pelbagai tragedi alam sekitar seperti hakisan lapisan ozon, kenaikkan suhu sedunia, banjir besar di seluruh dunia sepanjang dekad 1970-an dan 1980-an. Tragedi-tragedi tersebut merupakan kesan langsung daripada kegiatan pemusnahan hutan.Sejauh manakah pemusnahan hutan merupakan faktor utama yang merosakkan keseimbangan ekosistem sedunia.

4. Dengan berdasarkan maklumat di bawah, sejauh manakah amalan merokok merupakan punca utama yang mengancam kesihatan penduduk Malaysia?
- Seramai 3.1 juta penduduk Semenanjung Malaysia, termasuk 350,000 orang wanita adalah perokok.
- Penduduk Semenanjung Malaysia menghisap sebanyak 46.5 juta batang rokok sehari.
-Rokok yang dijual di Semenanjung Malaysia mempunyai kandungan tar dan nikotin sebanyak dua kali ganda melebihi kandungan tar dan nikotin dalam rokok yang dijual di Amerika Syarikat
.- Ibu yang merokok mungkin mengalami risiko melahirkan bayi yang kekurangan berat badan dan tidak sihat.
- Hampir 7,500 orang mati setiap tahun akibat barah; 90 peratus daripadanya perokok.
                                                                                      (Sumber:dewan Masyarakat, Julai 1990)

STPM 1992
1. Sebagai media komunikasi massa, akhbar sangat penting kepada masyarakat dan dianggap sebagai kuasa keempat (fourth estate). Akhbar mempunyai pengaruh dan dipercayai oleh golongan masyarakat pembaca. Kadang-kadang pembaca mempercayai sesebuah berita itu tidak kira sama ada berita itu benar ataupun sebaliknya. Begitulah kuatnya pengaruh akhbar dalam kehidupan masyarakat.Bincangkan peranan akhbar dalam kehidupan masyarakat.

2. Walaupun kerajaan mempunyai sebab-sebab yang munasabah apabila menyarankan matlamat penduduk tujuh puluh juta menjelang 2100, terutamanya dalam kewujudan penduduk yang rajin, berdisiplin, dan produktif yang merupakan asas penting bagi perkembangan perindustrian dan pewujudan pasaran keluaran tempatan, pertambahan penduduk sebanyak empat atau lima kali ganda semestinya menimbulkan beberapa implikasi sosioekonomi.Bincangkan kebaikan dan keburukan matlamat penduduk tujuh puluh juta menjelang tahun2100 di negara ini.

3. Kes-kes keracunan makanan di Malaysia dalam beberapa tahun kebelangan ini bukan lagi merupakan satu perkara yang luar biasa, dan ia juga nampaknya bukanlah disebabkan oleh jenis dan mutu makanan itu sema-mata, tetapi lebih banyak berpunca daripada kecuaian manusia.
Tunjukkan bagaimana masalah keracunan makanan berpunca daripada kecuaian manusia.

4. Bagi sebahagian besar anggota masyarakat, perkataan nuklear biasanya dikaitkan dengan kesan negatif terutamanya dalam perlumbaan senjata moden yang mencerminkan peranan tenaga nuklear sebagai alat pemusnah alam yang boleh membawah kecelakaan kepada kehidupan manusia sejagat. Akan tetapi perkembangan positif yang telah dicapai oleh dunia sains hari ini menunjukkan bahawa tenaga nuklear amat berperanan dalam pembangunan sesebuah negara.Berdasarkan pernyataan di atas, jelaskan peranan tenaga nuklear dalam pembangunan sesebuah negara membangun.

STPM 1993
1. Kualiti, pengayaan, dan nilai keindahan karya sastera dan seni dalam sesebuah masyarakat hari ini hanya dapat dipupuk dan ditingkatkan melalui usaha-usaha mengadakan sayembara dan anugerah yang tertentu.Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini?

2. Walaupun matlamat Wawasan 2020 adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berteraskan perindustrian, namun sektor pertanian masih diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negara. Melalui Dasar Pertanian Negara, kerajaan akan terus mempercepat perubahan sektor pertanian menjadi sektor yang lebih moden, komersil, dan mampan dengan arah pertumbuhan dan pembangunan yang berpandukan pasaran dan sumber manusia.
Bincangkan potensi dan cabaran masa depan sektor pertanian di negara ini.

3. Sungguhpun penciptaan alat-alat komunikasi satelit memang mempunyai keistimewaan dan kebaikkan yang tertentu, namun penciptaan alat-alat itu sebenarnya menimbulkan masalah dalam kehidupan manusia.
Berikan ulasan anda tentang penyataan ini.

4. “ Kita mengakui bahawa kegiatan manusia dalam mengejar pembangunan merupakan sebab pencemaran dan degradasi alam sekitar. Kita tidak boleh menghentikan pembangunan sama sekali, tetapi kita boleh sekurang-kurangnya meminimumkan pencemaran dan degradasi yang dihasilkan oleh pembangunan itu.”(Dipetik daripada YAB Dato’Seri Dr Mahathir Mohamad,Persidangan Bumi di Rio, 1992)

Dengan berdasarkan petikan di atas, jelaskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengimbangkan pembangunan dan kemajuan dengan pemeliharaan alam sekitar.

STPM 1994
1. Persaingan hidup serta perkembangan teknologi yang semakin canggih menyebabkan manusia tidak menghiraukan semangat kejiranan. Kini, masyarakat lebih suka hidup menyendiri. “Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.” Bincangkan faktor-faktor yang menjadi punca wujudnya fenomena di atas.

2. Belanjawan kerajaan 1993 merumuskan beberapa garis perlindungan kepada masyarakat pengguna. Sehubungan dengan itu, beberapa langkah telah dilaksanakan oleh kerajaan, misalnya langkah kerajaan mengurangkan atau menghapuskan duti import atas beberapa barang terpilih. Walau bagaimanapun, masih terdapat pelbagai halangan yang dihadapi oleh pihak berkuasa ke arah mencapai matlamat melindungi pengguna.
Berikan penjelasan anda tentang halangan-halangan ini.

3. Sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) telah dikesan sjak dua dekad yang lalu tetapi hingga kini, ahli sains, penyelidik perubatan, dan pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia masih belum menemu penawarnya. Tindakan mempengaruhi manusia supaya mengubah gaya hidup, dan langkah-langkah membendung Human Immune Virus (HIV) juga bukanlah satu tugas yang mudah. Huraikan keadaan-keadaan yang mengalakkan penularan kuman HIV dan bincangkan sebab-sebab penyakit AIDS sukar dikawal.

4. Pencapaian yang cemerlang dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (p & p) merupakan salah satu punca kejayaan Malaysia mencapai tahap pembangunan ekonomi yang tinggi. Tindakan kerajaan menambahkan peruntukan sebanyak RM600 juta di bawah Rancangan Malaysia Keenam menunjukkan betapa pentingnya peranan p & p dalam usaha membangunkan negara.
Dengan berdasarkan penyataan di atas, jelaskan sumbangan p & p dalam memajukan sektor pertanian di negara ini.

STPM 1995
1. “Kekurangan dari segi teknik dan kos pembikinan yang tinggi bukanlah penyebab utama filem negara kita kurang bermutu.” Bincangkan penyataan ini.

2. Kebelakangan ini Malaysia bergiat cergas dalam usaha membantu menangani isu-isu antarabangsa. Kelantangan Malaysia menyuarakan pendapatnya telah menonjolkan negara ini di mata dunia. Sejauh manakah Malaysia berjaya mempengaruhi pihak-pihak tertentu dalam menangai isu-isu tersebut.

3. “Matematik memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia.” Bincangkan penyataan ini.

4. Terdapat pelbagai jenis barang keperluan domestik dan makanan yang mengandungi bahan kimia berbahaya, seperti arsenik (dalam cat), alcohol, eter, gikoi (dalam kosmetik), kafein, gula tiruan, monosodium glutamat, dan bahan-bahan kimia yang lain seumpamanya. Bahan-bahan ini boleh mengancam kesihatan seseorang sekiranya tidak digunakan secara berhati-hati. Jelaskan kesan penggunaan barang-barang tersebut terhadap kesihatan pengguna.

STPM 1996
1. Kegagalan ibu bapa menyempurnakan tanggunajawap terhadap anak-anak terutamanya yang sudah remaja merupakan punca utama kejadian jenayah remaja. Oleh itu, hukuman patut juga dikenakan terhadap ibu bapa di samping hukuman terhadap anak-anak mereka yang telah melakukam kesalahan jenayah. Sejauh manakah anda bersetuju dengan saranan di atas?

2. Muzium merupakan gedung menyimpan dan mempamerkan bahan-bahan yang mempunyai nilai sejarah, seni dan sains. Bincangkan peranan muzium dalam konteks pembangunan sesebuah negara dan masyarakat.

3. Lebuh Raya Maklumat berupaya mendekatkan dan menghubungkan manusia tanpa mengenal jarak dan batas sempadan. Bincangkan kemungkinan yang dapat dimanfaatkan daripada perkembangan teknologi tersebut dalam kehidupan masyarakat Malaysia.

4. “Amalan pemakanan dan gaya hidup baru merupakan punca utama munculnya pelbagai penyakit masa kini.” Bincangkan penyataan ini.

STPM 1997
1. Maruah dan martabat sesuatu bangsa itu tidak hanya terletak pada kemantapan bahasa semata-mata. Masih terdapat faktor-faktor lain yang juga boleh menentukan maruah dan martabat sesuatu bangsa itu. Berikan pendapat anda tentang penyataan di atas.

2. Sekatan ekonomi merupakan satu cara yang berkesan untuk memaksa sesebuah negara akur kepada kehendak masyarakat antarabangsa .Jelaskan penyataan ini.

3. Sains dan teknologi adalah penting bagi kemajuan sesebuah negara. Namum demikian, ini bukanlah bermakna seni dan kemanusiaan mesti dikorbankan. Jelaskan penyataan ini.

4. Walaupun teknologi pengkomputeran banyak mempengaruhi urusan dalam kehidupan kita seharian, namum terdapat juga keburukan-keburukan tertentu daripada penggunaan teknologi berkenaan Bincangkan penyataan ini 

STPM 1998
1. “ Industri pelancongan banyak memberikan sumbangan kepada kemajuan negara. Namum demikian, sumbangan positif industri ini tidak seharusnya melalaikan kita kepada kesan negatifnya.” Jelaskan penyataan ini.

2. Masyarakat penyayang merupakan satu aspek yang penting dalam usaha membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju sebagimana yang dinyatakan dalam Wawasan 2020. Bincangkan cara-cara untuk mencapai hasrat membentuk masyarakat penyayang, dan halangan-halangan yang dihadapi dalam mencapai hasrat ini.

3. “Untuk mencapai status negara maju, sesebuah negara perlu mencapai tahap kemajuan sains dan teknologi yang tinggi.”Jelaskan peranan sains dan teknologi dalam konteks penyataan di atas.

4. Malaysia banyak mengimport bahan makanan daripada luar negara.Jelaskan faktor-faktor yang mewujudkan keadaan ini, dan huraikan bagaimana Malaysia boleh mengurangkan pergantungan pada bahan makanan yang diimport.

  STPM 1999
1. Penubuhan Institut Pendidikan Tinggi (IPTS) bertujuan untuk menambahkan dan melengkapkan peranan Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).
Bincangkan peranan IPTS dalam konteks yang tersebut dan masalah-masalah yang mungkin timbul daripadanya.

2. Menurut sebuah majalah tempatan, jumlah jenayah komersial di Malaysia pada tahun 1997 telah meningkat kepada 7137 kes berbanding 4807 kes pada tahun 1996. Nilai yang terbabit dalam kes-kes pada tahun 1997 meningkat sebanyak 134 peratus kepada RM556 juta berbanding RM238 juta pada tahun sebelumnya.
Berdasarkan penyataan di atas, huraikan sebab-sebab jenayah berkenaan semakin berleluasa dan implikasi kepada negara.

3. Krisis air telah melandai sebahagian besar negara terutama di kawasan Lembah Kelang. Adalah didapati bahawa kemarau panjang yg dibawa oleh El Nino bukanlah satu-satu sebab yang mecetuskan krisis tersebut.
Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor lain yang telah menyebabkan berlaku krisis itu dan bagaimana pula untuk menanganinya?

4. Menurut International Data Corporation,terdapat 11 juta pengguna Internet di Asia hari ini dan angka itu akan mencapai 42 juta pada thaun 2001. Ini adalah satu perkembangan yang menakjubkan. Walaupun Internet mempunyai pelbagai keistimewaan, ia mempunyai kesan sampingan.
Bincangkan penyataan ini.

STPM 2000
1. Hukuman penjara adalah salah satu daripada beberapa cara yang wajar dilakukan bagi memulihkan perilaku seseorang pesalah. Selain itu, terdapat cara-cara lain yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi gejala jenayah hari ini . Bincangkan.

2. Taraf kesihatan dan kehidupan dewasa ini dijangka akan berupaya melanjutkan lagi hayat manusia dan memungkinkan semakin ramai warga tua akan dalam masyarakat pada alaf baru ini.
Bincangkan implikasi peningkatan golongan warga tua di negara ini.

3. Secara umum bahan kima toksik boleh mengancam kesihatan dan keselesaan manusia sekiranya ia tidak diuruskan dengan baik. Jelaskan kesan bahan tersebut terhadap manusia. 

4. Pembentukan koridor raya mutlimedia adalah merupakan satu usaha mempergiat lagi perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat di Malaysia .
Bincangkan kesan usaha ini terhadap pembangunan negara


STPM 2001
1. Bermacam-macam kempen telah dijalankan oleh pihak-pihak tertentu menarik pelancong datang melawat ke sesebuah negara dan menyaksikan keindahan serta keunikan yang terdapat di negara berkenaan.Bincangkan kesan pelancongan terhadap budaya tempatan.

2. Gejala-gejala sosial yang banyak dilaporkan berlaku di sekolah kebelangkangan ini adalah juga berpunca daripada merosotnya penyertaan pelajar-pelajar dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Pada pendapat anda, apakah strategi yang sesuai yang boleh dilakukan bagi memesatkan semula aktiviti kokurikulum di kalangan pelajar sekarang ?

3. Pencemaran laut kurang mendapat perhatian manusia, tetapi ia adalah satu masalah yang perlu dibendung dan dikawal. Jelaskan sebab-sebab terjadinya pencemaran tersebut.

4. “ Penemuan dan penghasilan sumber tenaga alternatif memberi banyak manfaat kepada kehidupan manusia. Namun begitu, penemuannya turut menimbulkan risiko kepada sesebuah negara. ” Sejauh manakah anda bersetuju dengan penyataan ini ?

 STPM 2002
1. Penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti pekerjaan merupakan satu fenomena dunia yg terus-menerus berkembang. Sungguhpun secara umum buruh kanak dianggap menyalahi undang-undang, tetapi terdapat juga usaha oleh ibu bapa, majikan & kanak-kanak itu sendiri untuk menyembunyikannya. Bincangkan pernyataan ini.

2. Rakyat Malaysia digalakkan menguasai lebih daripada satu bahasa, bahkan di sekolah pelajar diwajibkan mempelajari sekurang-kurangnya Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.Bincangkan faedah mempelajari bahasa kedua dan masalah bagi mencapai hasrat tersebut

3. Kepentingan hidupan liar kepada alam dan manusia memang tidak dinafikan lagi, namum begitu bilangannya dikatakan semakin berkurangan. Huraikan bagaimana masalah kepupusan hidupan liar ini ditangani.

4. “ Penggunaan kaedah kawalan biologi merupakan satu kaedah alternatif kepada kelemahan penggunaa bahan kimia untuk mengatasi serangga perosak dan makhluk perosak dalam sektor pertanian.” Bincangkan pernyataan.   

STPM 2003
1. Dalam usaha mempelbagaikan keluaran industri negara, Malaysia begitu prihatin untuk terus memperkembangkan industri kecil dan sederhana ( IKS). Bincangkan pontensi dan masalah yang dihadapi oleh industri kecil dan sederhana pada masa ini di negara kita.

2. Industri muzik tempatan menghadapi banyak masalah. Sehingga kini masalah tersebut belum adsa penyelesaiannya. Oleh yang demikian langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi menangani masalah tersebut. Bincangkan.

3. Obesiti merupakan satu masalah kesihatan yang berlaku di kalangan anggota masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Bincangkan factor-faktor yang menyebabkan berlakunya masalah tersebut dan kesannya terhadap kehidupan manusia.

4. Hutan bakau banyak kepentingannya terhadap persekitaran sesebuah negara. Walau bagaimanapun, sejak kebalakangan ini kegiatan tebus guna kawasan pantai telah memberi kesan yang serius terhadap kawasan hutan bakau. Huraikan kepentingan hutan bakau terhadap persekitaran fizkal dan sosioekonomi sesebuah negara.


STPM 2004 
1. Sistem pendidikan yang dilaksanakan kini memberikan pemberatan 60 % kepada bidang sains dan teknologi. Bincangkan faedah daripada perlaksanaan dasar berkenaan

2. Proses urbanisasi menjadi suatu keperluan kepada negara-negara membangun, namum pada masa yang sama proses tersebut juga menimbulkan masalah kepada negara-negara berkenaan.  Bincangkan

3. Alam sekitar yang bersih adalah penting kepada kehidupan manusia dan ancaman terhadapnya boleh menimbulkan pelbagai negatif. Bincangkan.

4. Sesungguhpun bidang perubatan moden semakin berkembang, namum perubatan tradisional masih lagi mendapat perhatian masyarakat. Jelaskan ciri-ciri yang membezakan kedua-dua jenis perubatan ini.


STPM 2005
1. “ Bahasa menunjukkan bangsa.” Bincangkan peribahasa ini dalam konteks Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni yang telah dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini.

2. Akhir-akhir ini banyak rungutan yang diterima daripada orang ramai berkaitan dengan perkhidmatan kaunter dan penyampaian sehingga pihak berkenaan sering ditegur supaya memperbaiki perkhidmatan yang diberikan. Bincangkan kepentingan perkhidmatan kaunter dan penyampaian yang baik serta kesannya jika keadaan yang menimbulkan rungutan itu dibiarkan berterusan

3. Kebelakangan ini jangkitan penyakit di kalangan kanak-kanak didapati semakin membimbangkan terutamanya di negara-negara mundur. Justeru, pelbagai langkah yang serius perlu diambil untuk mengawalnya. Bincangkan.

4. Mengikut laporan UNESCO sejak tahun 1970-an, bekalan air bersih dunia didapati semakin berkurang, Keadaan ini boleh menimbulkan beberapa masalah kepada manusia dan alam sekitar. Bincangkan.

STPM 2006
1. Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN) merupakan satu program yang baik untuk memperkasakan genarasi belia di negara ini dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi cabaran pada masa ini dan masa hadapan. Bincangkan rasional kerajaan melaksanakan program tersebut dan cadangkan cara-cara lain untuk mencapai matlamat di atas.

2. Kita tidak dapat menolak hakikat bahawa Malaysia memang perlu menumpukan perhatian untuk memajukan sekotr perindustrian. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, Malaysia tidak sewajarnya mengetepikan usaha untuk meningkatkan sektor pertaniannya. Berikan ulasan anda tentang penyataan di atas.

3. Pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan untuk merealisasikan konsep mesra alam bagi mengatasi masalah alam sekitar. Bincangkan

4. Ilmu sains dan teknologi dapat membantu manusia mengatasi masalah jenayah. Dengan mengemukakan contoh yang sesuai, bagaimanakah aplikasi ilmu tersebut dapat membantu kita menangani masalah jenayah ?


STPM 2007
1. Belakangan ini banyak terdapat projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negara yang akan menimbulkan kesan negatif kepada pelbagai pihak. Langkah-langkah tertentu perlu dilaksanakan untuk membendung masalah tersebut. Bincangkan

2. Pelbagai faktor dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kadar kes juvana di negara kita pada msa ini. Usaha perlu dilakukan untuk membendung gejala ini. Huraikan.

3. Nuklear biasanya dikaitkan dnegan kemusnahan dan kecelakaan, namum hasil penyelidikan pakar-pakar dalam bidang ini telah mengubah persepsi terhadapnya. Bincangkan.

4. Tanaman ubah suai genetik didapati berupaya meningkatkan sektor pertanian ngara, namum pada masa yang sama tanaman ini turut menimbulkan pelbagai kesan negatif. Bincangkan.


STPM 2008
1. Dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, kebanyakan agensi kerajaan telah menyediakan laman web dan perkhidmatan dalam talian kepada orang ramai. Bincangkan kebaikan perkhidmatan tersebut dan masalah yang mungkin dihadapi oleh pelanggan semasa menggunakannya.

2. Kesepaduan sektor pelancongan dengan alam semula jadi telah mencetuskan aktiviti pelancongan yang dapat memberikan manfaat kepada negara. Langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk memastikan aktiviti ini berterusan. Bincangkan penyataan ini.

3. Kawasan tanah bencah ( wetland) sangat penting kepada ama sekitar. Bincangkan penyataan ini.

4. Masalah jerebu dan kemerosotan kualiti udara di negara ini adalah manifestasi perbuatan manusia sendiri dan masalah ini boleh memberikan kesan memudaratkan. Bincangkan penyataan ini.

STPM 2009
1. "Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara." Begitulah pepatah orang tua kita yang memberikan gambaran belia ialah golongan yang penting dalam memajukan sesebuah negara. Jelaskan ciri-ciri yang perlu ada pada golongsn belia untuk merealisasikan hasrat pepatah ini.

2. Selain keupayaan negara menghasilkan pelbagai produk hiliran, kejayaan sektor pertanian negara dipengaruhi juga oleh faktor-faktor lain. Huraikan penyataan ini.

3. Bahan kimia semakin banyak digunakan sebagai salah satu kandungan dalam makanan yang diproses. Walau bagaimanapun, penggunaannya boleh mendatangkan esan sampingan. Jelaskan .

4. Kawasan hutan tanah tinggi banyak kepentingannya. Penerokaannya boleh mendatangkan impak kepada kehidupan dan alam sekitar. Huraikan penyataan ini.

STPM 2010
1. Produk tiruan semakin popular dan laris dalam pasaran tempatan. Dalam keadaan ini, usaha-usaha perlu diambil untuk melindungi produk asli daripada menjadi mangsa peniruan. Jelaskan penyataan ini.

2. Penggunaan kad kredit bertujuan memudahkan urusniaga. Namum begitu, penggunaannya tanpa kawalan boleh mengundang pelbagai masalah. Bincangkan penyataan di atas.

3. Pelbagai spesies serangga yang wujud sejak dahulu lagi sering dianggap sebagai perosak. Tanggapan ini sepatutnya diubah keranan spesies ini juga terbukti penting kepada manusia. Jelaskan penyataan ini.

4. Pengurusan sisa pertanian secara saintifik banyak mendatangkan manfaat kepada manusia. Bincangkan penyataan ini.

Sumber :