SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU MOHD KARIZAM DAN SEMOGA ANDA SEMUA MENDAPAT MANFAAT HASIL DARIPADA BAHAN YANG DIPAPARKAN DALAM BLOG INI.

Wednesday 26 September 2012


Pererat Integrasi Rumpun Bumiputera

Oleh : Prof. Dr. Teo Kok Seong, UKM

Wacana mengenai Hari Malaysia sejak diraikan pada 2010, rata-ratanya berkisar pada wujudnya perasaan prasangka antara kita di Semenanjung dan juga di Sabah dan Sarawak. Ia dikatakan wujud kerana beberapa hal. Antaranya kedudukan geografi yang dipisahkan Laut China Selatan dan kepelbagaian etnisiti yang rencam. Ini menyebabkan kurangnya interaksi dan kefahaman antara kita.

Memang semua wilayah, iaitu
Semenanjung, Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah awal, corak kependudukan dan perkembangan ketamadunan yang tidak sama. Ia dibangkitkan pula dalam konteks adanya jurang antara kaum Melayu di Semenanjung dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sehubungan ini, mereka digambarkan sebagai kelompok berlainan.

Semua kaum Bumiputera bersaudara


Perbezaan ini ditonjolkan sehingga wujud pemikiran bahawa semua kaum Bumiputera ini bersetentangan. Sesungguhnya mereka adalah bersaudara sebagai sanak Nusantara. Persaudaraan ini bukan sekadar retorik untuk mengambil hati semua pihak dalam konteks Hari Malaysia, khususnya integrasi nasional. Mereka memang sekaum sekadim dan buktinya boleh diperoleh dengan kukuh dalam bidang bahasa.

Sehubungan ini, Linguistik Sejarah dan Linguistik Perbandingan mempunyai banyak maklumat bahawa bahasa Melayu mempunyai pertalian rapat dengan bahasa Kadazandusun dan Iban serta puluhan bahasa Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak. Begitu juga halnya di antara bahasa Bumiputera di Sabah dan Sarawak, yang bukan saja memperlihat pertalian erat, tetapi memang berasal daripada satu keluarga bahasa sama.

Pertalian ini sebenarnya menunjukkan bahawa Bumiputera Melayu, Kadazandusun, Iban dan lain-lain ikut mempunyai pertalian kekeluargaan bangsa. Rumpun Bumiputera yang menaungi semua, termasuk kaum bukan asal, iaitu Cina dan India, baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, ialah Austronesia atau Malayo-Polinesia.

Kosa kata dan pola nahu adalah antara unsur penting yang diteliti untuk memperlihat hubungan kekeluargaan ini. Kata bilangan seperti angka satu sehingga 10 dihemati untuk tujuan pembuktian ini. Sebagai contoh, angka dua wujud dan disebut dengan pelbagai kelainan. Selain dua, ia juga disebut di Sarawak sebagai duah dalam bahasa Kelabit di Bario dan duak oleh kaum Kayan di Long Miri. Di Sabah, ia disebut sebagai dueh oleh kaum Lun Dayeh di Sipitang dan duoh dalam Bahasa Paitan di Membangan.

 Persamaan perlu ditegas setiap masa.

Pembentukan rangkai kata dalam bahasa Bumiputera di semua wilayah Malaysia yang juga mengikuti kaedah sama, adalah pembuktian selanjutnya. Susunan unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkan, wujud dalam bahasa Bumiputera ini. Sebagai contoh, ungkapan
aik angat dalam bahasa Iban dan waig tahasu dalam bahasa Kadazandusun adalah padanan susunan untuk air panas dalam bahasa Melayu.

 Justeru, kita bersaudara dalam konteks sanak Nusantara, kaum Bumiputera di ketiga-tiga wilayah Malaysia ini, perlu bukan saja selalu memperkata persamaan ini, tetapi menegaskan pada setiap masa, khususnya dalam konteks entiti politik Malaysia, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selaku rakyat asal. Dalam konteks yang sama, kaum Bumiputera Malaysia juga bersaudara dengan kaum Bumiputera lain di Nusantara. Hal ini terbukti apabila bahasa Jawa dan lain-lain di Indonesia serta bahasa Tagalog dan lain-lain di Filipina, diteliti. Semua bahasa ini juga didapati sekeluarga bawah Rumpun Austronesia.

Dengan bukti bahasa ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghapuskan sindrom bahawa kami di sini adalah orang Semenanjung, anda semua di sana adalah orang Sarawak, dan mereka nun di sana adalah orang Sabah. Kita sebetulnya, khusus kaum Bumiputera dan juga kaum bukan Bumiputera, adalah orang Malaysia.


Sehubungan ini, pengenalan kita perlu mengambil dimensi baharu, dengan menonjolkan jati diri Malaysia sebagai unsur utamanya. Justeru, kita adalah orang Malaysia Semenanjung, orang Malaysia Sabah dan orang Malaysia Sarawak, apabila perlu disebut wilayahnya. Jika tidak, kita semua adalah orang Malaysia!


Sesungguhnya solidariti Nusantara untuk integrasi nasional, selain kebenaran sejarah, adalah sukma semasa dan sentimen kekitaan bagi semua orang Malaysia, sebagai bangsa Malaysia.


 

 

No comments: