SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU MOHD KARIZAM DAN SEMOGA ANDA SEMUA MENDAPAT MANFAAT HASIL DARIPADA BAHAN YANG DIPAPARKAN DALAM BLOG INI.

Tuesday 4 September 2012

Pengajian Am 2 : Bahagian C


Petua am soalan

Sebelum mula membuat soalan, baca kedua-dua pilihan soalan yang diberikan dengan teliti terlebih dahulu - jangan tergesa-gesa untuk menjawab soalan yang pertama kerana anda mungkin lebih yakin untuk menjawab soalan yang kedua. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, membaca adalah lebih menjimatkan masa berbanding menyiapkan soalan dahulu dan menyesali tidak menjawab soalan yang satu lagi itu (yang lebih mudah!).

Untuk soalan (i) untuk kedua-dua laras (sastera dan sains), jawab soalan dalam satu ayat penuh sahaja. (Ayat kedua tidak akan diberi markah.) Dalam soalan ini, calon dikehendaki menjawab mengikut maksud tersurat yang (memang) terdapat dalam petikan, tetapi ayat tersebut tidak boleh disalin bulat-bulat daripada petikan! 

(Salin bulat-bulat = tiada markah, saya pernah membuat kesilapan ini banyak kali!) Ayat jawapan mestilah sama maksud dengan ayat dalam petikan tetapi dengan perubahan istilah hampir. Teknik ini seakan-akan membuat soalan pertama pemahaman rumusan dalam BM SPM -ingat lagi? ;)

Untuk soalan (ii), pembahagian markah adalah 8 markah, iaitu 2 markah isi + 4 markah huraian + 2 markah bahasa. 

Format soalan :

- Isi 1
  * huraian 1 kepada isi 1
  * huraian 2 kepada isi 1

- Isi 2
  * huraian 1 kepada isi 2
  * huraian 2 kepada isi 2

Jawapan ini perlu ditulis dalam bentuk rumusan pendek yang tidak melebihi 50 patah perkataan. Jawapan boleh ditulis dalam 1 atau 2 perenggan tetapi untuk kemudahan pecahan isi saya akan mencadangkan penulisan jawapan dalam 2 perenggan.

Contoh soalan

Laras sastera
(soalan dipetik daripada buku Lembaran Praktis 900/2 Pengajian Am STPM, muka surat 8, soalan 4)

"...Kebanyakan masalah tingkah laku kanak-kanak adalah disebabkan oleh cara mereka didisiplinkan oleh ibu bapa, sama ada tegas, terlalu bermanja atau sederhana dan liberal. Corak disiplin yang berubah-ubah menyebabkan anak-anak gelisah dan keliru. Keadaan ini tidak membantu ibu bapa menyelesaikan masalah tingkah laku anak-anak mereka."
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada 'Mengawal Tingkah Laku Kanak-Kanak' oleh Dr. Teoh Hsien-Jin, Mingguan Malaysia. 14 Ogos 2005)


i. Pada pendapat anda, apakah punca masalah anak-anak tidak dapat diselesaikan oleh ibu bapa?

ii. Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan cara untuk mengubah tingkah laku kanak-kanak yang bermasalah.

Cadangan jawapan : (Isi, huraian)

i. Punca masalah anak-anak tidak dapat diselesaikan oleh ibu bapa ialah pengunaan cara disiplin oleh ibu bapa yang tidak menentu terhadap anak-anak mereka. 
(ayat asal, cara mereka didisiplinkan oleh ibu bapa...Corak disiplin yang berubah-ubah...)

ii. Salah satu cara untuk mengubah tingkah laku kanak-kanak yang bermasalah ialah dengan melaksanakan hukuman yang sesuai, iaitu mengikut umur dan dengan tujuan memberikan pengajaran kepada mereka. Selain itu, ibu bapa harus mengajar tingkah laku yang baik kepada mereka. Penegasan tabiat baik dan pemberian ganjaran boleh digunakan untuk mencapai tujuan tersebut.
(50 patah perkataan)


Laras sains
(soalan dipetik daripada buku Lembaran Praktis 900/2 Pengajian Am STPM, muka surat 14, soalan 4)



"......Makanan segera wajar dikenali sebagai makanan remeh kerana kekurangan zat. Pengeluar makanan segera menyangkal dakwaan dengan mengatakan makanan segera mempunyai khasiat dan mempromosikan melalui iklan dan penajaan. Iklan memaparkan makanan segera adalah selamat dimakan dan mempunyai banyak khasiat."
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Buletin Pengguna, Januari 2008)

i. Apakah rasional pengeluar makanan segera mempromosikan makanan segera?

ii. Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, huraikan impak makanan segera kepada kanak-kanak.

Cadangan jawapan : (Isi, huraian)

i. Rasional pengeluar makanan segera mempromosikan makanan segera ialah makanan segera berkhasiat dan boleh dimakan tanpa keraguan. 
(ayat asal: memaparkan makanan segera adalah selamat dimakan dan mempunyai banyak khasiat)

ii. Salah satu impak makanan segera kepada kanak-kanak ialah penjejasan kesihatan mereka. Makanan segera mempunyai perisa, pengawet dan pewarna yang akan menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak. Selain itu, pemakanan makanan segera dengan kerap akan mengakibatkan tabiat pemakanan yang tidak seimbang. Makanan segera yang kekurangan zat dan terlebih lemak merupakan diet yang kurang ideal.
(50 patah perkataan)

Sumber:


No comments: