INSTITUSI
PENDIDIKAN SEBAGAI PEMANGKIN SEKTOR PELANCONGAN
Malaysia semakin terkenal di kalangan pelajar asing sebagai
destinasi pilihan utama bagi pengajian tinggi dan lanjutan. Kini, para pelajar
dan cerdik pandai dari serata dunia membentuk komuniti pelajar yang menyumbang
pelbagai budaya dan bahasa di Malaysia.
Salah satu sebab penting Malaysia menjadi destinasi
pengajian pilihan utama ialah kadar sara hidup yang rendah serta tahap kualiti
kehidupan yang tinggi. Ini diperkuatkan lagi dengan adanya teknologi dan
peralatan bantuan pembelajaran yang canggih di sini. Tambahan lagi, penduduk
Malaysia yang berbilang kaum dan mesra memudahkan pelajar asing untuk mengenali
lebih mendalam perihal berkaitan penduduk, tradisi dan budaya yang ada sambil
mereka meneruskan pembelajaran mereka.
Malaysia mempunyai lebih dari 600 institusi pengajian awam
dan swasta yang menawarkan pengajian di tahap pra-universiti hingga tahap
universiti. Ini termasuk institusi pengajian tempatan dengan gabungan pelbagai
pusat pengajian luar negara, serta beberapa cawangan kampus universiti luar
negara yang tersohor. Kelayakan yang diterima dari cawangan-cawangan seperti
ini adalah setaraf dengan kelayakan yang diterima di kampus induk pusat
pengajian tersebut.
Terdapat juga beberapa buah institusi pengajian tinggi
tempatan yang telah berjaya menempah nama di persada dunia seperti Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Multimedia. Di Malaysia juga terdapat institusi pengajian
tinggi berprestij yang telah lama bertapak seperti Universiti Malaya di Kuala
Lumpur dan Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. Tambahan lagi, beberapa
buah pusat pengajian tinggi antarabangsa telah bergabung bagi mewujudkan
program berkembar dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia dan kini,
institusi seperti Monash, Nottingham dan lain-lain menawarkan pilihan kepada
para pelajar untuk memilih samada menyempurnakan seluruh pengajian mereka di
Malaysia atau di negara luar seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom.
Kelebihan yang boleh diperolehi di Malaysia sekiranya mereka ingin menghabiskan
tempoh pembelajaran ialah penjimatan kos pengajian tanpa menjejaskan kualiti
pengajian.
Malaysia
mempunyai pilihan meluas bagi pengajian yang berkualiti tinggi pada kos yang
amat berpatutan serta kursus-kursus yang ditawarkan telah diiktiraf
antarabangsa. Hasilnya, kini terdapat beribu pelajar dari lebih kurang 100 buah
negara yang sedang belajar di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Pelajar
yang sedang membuat pertimbangan untuk belajar di Malaysia tetapi belum membuat
sebarang keputusan berpeluang mengambil bahagian di dalam beberapa program
pelancongan pelajar yang akan mendedahkan mereka kepada negara ini, mendekati
penduduknya dan pilihan pusat-pusat pengajian tinggi yang ditawarkan. Program
ini bukan sahaja berjaya membantu pelajar membuat keputusan mengenai pengajian
mereka, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk menikmati percutian di
destinasi yang paling indah dan mempesona di dunia.
No comments:
Post a Comment