KEBAIKAN SUKAN
KEPADA NEGARA
SUKAN merupakan satu
lapangan yang merangkumi semua aktiviti kecerdasan dan kemahiran dalam sesuatu
permainan. Marcapada,
sukan sering menjadi keutamaan bagi menghiasi dada akhbar dan bukan saja
melibatkan kejohanan tempatan malahan di peringkat global. Acara sukan serta
kejohanan-kejohanan berprestij merupakan antara program yang sangat penting dan
wajib diadakan sama ada setahun sekali, dwi-tahunan, empat tahun sekali atau
sebagainya. Bertitik tolak daripada itu, pelbagai kejohanan sama ada peringkat
domestik ataupun antarabangsa pernah dianjurkan oleh Malaysia seperti SUKMA,
sukan SEA, dan sukan Olimpik semata-mata untuk memartabatkan sukan di
mata masyarakat.
Seperti yang kita maklum, kita telah melahirkan atlet-atlet Malaysia yang
sememangnya berwibawa dan mampu menjadi ayam tambatan serta intan yang
berkilauan dan memancar kebanggaan pemiliknya. Kita dapat lihat hasilnya
seperti Dato’
Nicol Ann David, ratu skuasy negara, Dato’ Lee Chong Wei, pemain badminton
terkemuka dunia, Azizulhasni Awang, permata dalam dunia berbasikal dan
Pandalela
serta Daniel Bego, atlet renang kita yang
telah banyak menempah kejayaan. Kewibawaan dan kesungguhan mereka menjadi
inspirasi selain menmanfaatkan peluang yang berharga untuk berbakti kepada
negara dalam bidang masing-masing.
Selain itu, bagi menyedarkan generasi seterusnya supaya tidak terus hilang
apabila atlet sekarang bersara kelak, anak jati Malaysia ini haruslah membuktikan bahawa mereka
mampu memperturunkan ilmu yang berguna supaya
ia tidak luput ditelan zaman.
Jika dilihat dari segi ekonomi pula, negara mampu mengaut keuntungan yang lumayan melalui
penganjuran sukan Komanwel pada tahun 1998. Hal ini sedemikian kerana,
pengaliran wang dari seluruh negara-negara ke Malaysia menyebabkan pertukaran
wang asing yang seterusnya memberi kelebihan kepada kita. Sementelahan lagi,
jualan tiket bagi setiap acara dalam kejohanan juga mampu membawa
kepulangan yang lumayan kepada negara dan boleh digunakan sebagai dana untuk
pembagunan sosial dan mempertingkatkan lagi mutu sukan negara agar dapat
bersaing dengan negara luar. Justeru, pelaburan yang dilakukan untuk
menganjurkan acara sukan yang lebih banyak memberi kesan yang positif
terhadap sesebuah negara.
Kesimpulanya, sukan bukan sahaja sebagai medan untuk berperang dalam
mempamerkan skil atau kemahiran permainan tertentu melibatkan pelbagai acara,
malah menjadi platform yang boleh menghasilkan lebih banyak faedah, manfaat dan
kebaikannya. Oleh sebab itu,
wajarlah sesebuah masyarakat dunia khususnya di Malaysia mengambil berat atau
prihatin terhadap pembangunan sukan. Dalam hal ini, perkembangan dunia sukan
dianggap sangat bermanfaat kepada sesebuah negara yang sanggup memperuntukkan
berjuta-juta ringgit serta pelbagai dana sebagai pelaburan jangka panjang. Oleh
itu, ayuhlah kita sahut cabaran dan seruan kerajaan bagi menjayakan dan
meningkatkan taraf sukan negara ke tahap yang paling optimum.
No comments:
Post a Comment