SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU MOHD KARIZAM DAN SEMOGA ANDA SEMUA MENDAPAT MANFAAT HASIL DARIPADA BAHAN YANG DIPAPARKAN DALAM BLOG INI.

Friday, 28 September 2012


Belanjawan 2013 Bukti Komitmen PM Dekati Semua Golongan Rakyat

Sekali lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus konsisten dengan komitmennya untuk mendahulukan rakyat apabila Belanjawan 2013 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat mendekati hampir semua golongan rakyat.
Belanjawan 2013 yang bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati", merangkumi lima fokus utama selaras dengan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang menjadi tonggak pentadbiran beliau. Lima fokus itu ialah Merangsang Aktiviti Pelaburan, Memperkasa Pendidikan dan Latihan, Membudaya Inovasi, Meningkat Produktiviti, Konsolidasi Fiskal danMempercekap Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Mensejahterakan Rakyat.
Kanak-kanak berlainan keupayaan (OKU), petani, nelayan, pesara kerajaan, bekas tentera tanpa pencen, pengusaha bas sekolah, pelajar dan pengguna feri diSarawak, Labuan dan Sabah adalah antara kumpulan yang mendapat perhatian kerajaan.
Dengan pengukuhan ekonomi negara berikutan hasil kerajaan bagi tahun depan dianggarkan RM208.6 bilion, kerajaan akan terus mengurangkan defisit kepada empat peratus. Seperti diharapkan, Belanjawan 2013 yang dibentangkan selama dua jam 15 minit memberi peruntukan besar kepada pendidikan iaitu sejumlah RM38.7 bilion atau 21 peratus daripada keseluruhan belanjawan.
Belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 bilion berbanding RM232.8 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2012. Najib juga memperkenalkan beberapa insentif baharu dalam Belanjawan tersebut, antaranya melaksanakan projek perintis taska kanak-kanak OKU, Skim Perlindungan Takaful Padi kepada pengusaha sawah, perluasan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dan bependapatan RM2,000 sebulan.
Kumpulan belia yang berumur 21 hingga 30 tahun turut menikmati rebat "one-off" RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G, pemberian bonus kepada penjawat awam sebanyak satu setengah bulan gaji. Bagi meringankan kos rawatan rakyat, kerajaan juga akan membuka tambahan 70 buah Klinik 1Malaysia di seluruh negara pada tahun depan, manakala rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM3,000 layak memohon untuk mendapatkan diskaun 50 peratus kadar tambang perkhidmatan komuter KTMB.
Seiring dengan falsafah kerajaan yang sedia mendengar masalah rakyat, kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion untuk membina 123,000 unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik seluruh negara. Selain mengumumkan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilo, Najib turut menyeru para peniaga supaya tidak membebankan rakyat dengan kenaikan harga barangan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menyatakan bahawa bajet kali ini merupakan belanjawan terakhir sebelum berlangsungnya pilihan raya umum ke-13.

 

Wednesday, 26 September 2012


Pemberi Rasuah Mesti Diperangi
Akhbar Satar

Apakah masyarakat tahu bahawa perbuatan memberi rasuah adalah satu jenayah. Kesalahan pemberi adalah sama dengan penerima dan jika disabitkan, seseorang itu berhadapan hukuman berat termasuk penjara dan denda. Rupa-rupanya ada juga antara kita tidak mengetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.
Ada juga pandangan segelintir masyarakat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah saja. Selama ini, masyarakat awam seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral. Seperti kata pepatah ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya.
Penulis ingin mengingatkan bahawa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jelas memperuntukkan perbuatan memberi suapan rasuah adalah kesalahan serius. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.
Mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, memberi atau menawarkan rasuah adalah kesalahan yang boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
SPRM juga sudah melancarkan kempen membanteras rasuah yang turut memberi tumpuan kepada pemberi sogokan berbanding fokus utama kepada penerima sebelum ini yang kebanyakannya membabitkan penjawat awam.
Kita perlu ingat bahawa penerimaan hadiah boleh bertukar menjadi rasuah jika dalam proses pemberian berkenaan ada unsur ‘niat jahat’ untuk mendapatkan sesuatu balasan daripada penerima sebagai pelaburan untuk mendapat sesuatu pada masa akan datang.
Sesuatu pemberian atau penerimaan yang mempunyai ciri ‘niat jahat’ boleh dikesan dan dinilai dalam keadaan yang luar biasa dan tidak munasabah. Pemberi perlu ingat bahawa perbuatan memberi ini amat berbahaya kerana penerima boleh menyimpan bukti yang mencukupi untuk digunakan pada masa depan. Penerima jika berasa terancam juga akan menggunakan maklumat sedia ada untuk membuat laporan kepada SPRM serta-merta. Apabila sesuatu membabitkan wang ringgit, ‘kawan’ yang pernah tidur sebantal pun tidak dipedulikan.
Dari sudut agama pula, perbuatan mereka ini dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka.”
Penulis juga ingin mengingatkan bahawa kita perlu berbalik kepada soal moral dan integriti. Jika ditahan kerana melakukan kesalahan, kita perlu bersedia untuk membayar kompaun atau pergi ke mahkamah, jangan beri rasuah. Cuba elak daripada melakukan kesalahan supaya kita tidak terjebak dalam amalan yang tidak baik ini.
Pada pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa juga sogokan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen menerusi media massa. Seksyen ini menghendaki setiap cubaan sogokan wajib dilaporkan kepada SPRM atau polis serta-merta.

Namun begitu, kajian ahli kriminologi menjelaskan bahawa rasuah adalah jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Daripada sepuluh kes rasuah yang berlaku hanya satu saja dilaporkan. Kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah daripada kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan bersama.

Balasan Allah SWT kepada mereka yang menerima dan makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi, kehilangan harta benda dan harta penerimaan hasil dari rasuah itu dihabiskan oleh anak dalam sekelip mata. Ada kalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga Hari Akhirat kelak, tunggulah!
 Kecenderungan rasuah berpunca daripada ceteknya pengetahuan agama, kurangnya iman dan takwa, naluri tamak, desakan kebendaan dan untuk memuaskan nafsu semata-mata. Ibnu Khaldun dalam karya agungnya bertajuk Muqaddimah mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan keinginan untuk mengecap kemewahan hidup berlebihan mendorong mereka yang mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan rasuah.
Antara kesan buruk gejala rasuah ia menimbulkan masalah seperti kemerosotan ekonomi, ketidakadilan, pengabaian kepentingan masyarakat dan hukuman yang menanti adalah berat dan akhirnya boleh meruntuhkan sesebuah negara.
Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Pererat Integrasi Rumpun Bumiputera

Oleh : Prof. Dr. Teo Kok Seong, UKM

Wacana mengenai Hari Malaysia sejak diraikan pada 2010, rata-ratanya berkisar pada wujudnya perasaan prasangka antara kita di Semenanjung dan juga di Sabah dan Sarawak. Ia dikatakan wujud kerana beberapa hal. Antaranya kedudukan geografi yang dipisahkan Laut China Selatan dan kepelbagaian etnisiti yang rencam. Ini menyebabkan kurangnya interaksi dan kefahaman antara kita.

Memang semua wilayah, iaitu
Semenanjung, Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah awal, corak kependudukan dan perkembangan ketamadunan yang tidak sama. Ia dibangkitkan pula dalam konteks adanya jurang antara kaum Melayu di Semenanjung dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sehubungan ini, mereka digambarkan sebagai kelompok berlainan.

Semua kaum Bumiputera bersaudara


Perbezaan ini ditonjolkan sehingga wujud pemikiran bahawa semua kaum Bumiputera ini bersetentangan. Sesungguhnya mereka adalah bersaudara sebagai sanak Nusantara. Persaudaraan ini bukan sekadar retorik untuk mengambil hati semua pihak dalam konteks Hari Malaysia, khususnya integrasi nasional. Mereka memang sekaum sekadim dan buktinya boleh diperoleh dengan kukuh dalam bidang bahasa.

Sehubungan ini, Linguistik Sejarah dan Linguistik Perbandingan mempunyai banyak maklumat bahawa bahasa Melayu mempunyai pertalian rapat dengan bahasa Kadazandusun dan Iban serta puluhan bahasa Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak. Begitu juga halnya di antara bahasa Bumiputera di Sabah dan Sarawak, yang bukan saja memperlihat pertalian erat, tetapi memang berasal daripada satu keluarga bahasa sama.

Pertalian ini sebenarnya menunjukkan bahawa Bumiputera Melayu, Kadazandusun, Iban dan lain-lain ikut mempunyai pertalian kekeluargaan bangsa. Rumpun Bumiputera yang menaungi semua, termasuk kaum bukan asal, iaitu Cina dan India, baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, ialah Austronesia atau Malayo-Polinesia.

Kosa kata dan pola nahu adalah antara unsur penting yang diteliti untuk memperlihat hubungan kekeluargaan ini. Kata bilangan seperti angka satu sehingga 10 dihemati untuk tujuan pembuktian ini. Sebagai contoh, angka dua wujud dan disebut dengan pelbagai kelainan. Selain dua, ia juga disebut di Sarawak sebagai duah dalam bahasa Kelabit di Bario dan duak oleh kaum Kayan di Long Miri. Di Sabah, ia disebut sebagai dueh oleh kaum Lun Dayeh di Sipitang dan duoh dalam Bahasa Paitan di Membangan.

 Persamaan perlu ditegas setiap masa.

Pembentukan rangkai kata dalam bahasa Bumiputera di semua wilayah Malaysia yang juga mengikuti kaedah sama, adalah pembuktian selanjutnya. Susunan unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkan, wujud dalam bahasa Bumiputera ini. Sebagai contoh, ungkapan
aik angat dalam bahasa Iban dan waig tahasu dalam bahasa Kadazandusun adalah padanan susunan untuk air panas dalam bahasa Melayu.

 Justeru, kita bersaudara dalam konteks sanak Nusantara, kaum Bumiputera di ketiga-tiga wilayah Malaysia ini, perlu bukan saja selalu memperkata persamaan ini, tetapi menegaskan pada setiap masa, khususnya dalam konteks entiti politik Malaysia, iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, selaku rakyat asal. Dalam konteks yang sama, kaum Bumiputera Malaysia juga bersaudara dengan kaum Bumiputera lain di Nusantara. Hal ini terbukti apabila bahasa Jawa dan lain-lain di Indonesia serta bahasa Tagalog dan lain-lain di Filipina, diteliti. Semua bahasa ini juga didapati sekeluarga bawah Rumpun Austronesia.

Dengan bukti bahasa ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghapuskan sindrom bahawa kami di sini adalah orang Semenanjung, anda semua di sana adalah orang Sarawak, dan mereka nun di sana adalah orang Sabah. Kita sebetulnya, khusus kaum Bumiputera dan juga kaum bukan Bumiputera, adalah orang Malaysia.


Sehubungan ini, pengenalan kita perlu mengambil dimensi baharu, dengan menonjolkan jati diri Malaysia sebagai unsur utamanya. Justeru, kita adalah orang Malaysia Semenanjung, orang Malaysia Sabah dan orang Malaysia Sarawak, apabila perlu disebut wilayahnya. Jika tidak, kita semua adalah orang Malaysia!


Sesungguhnya solidariti Nusantara untuk integrasi nasional, selain kebenaran sejarah, adalah sukma semasa dan sentimen kekitaan bagi semua orang Malaysia, sebagai bangsa Malaysia.


 

 

Wednesday, 5 September 2012

Karangan : Kepentingan Kegiatan Kokurikulum dan langkah- langkah mengalakkan pelajar mengikutinya

PENDAHULUAN

       Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah. Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurangnya satu daripada setiap aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan malahan dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya. Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan.Oleh itu,terdapat pelbagai langkah dapat menggalakkan pelajar mengikuti aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat unntuk pemilihan ke universiti.

Isi Kandungan :

Kepentingan kokurikulum (2 isi)

Langkah-langkah menggalakkan pelajar menyertai kokurikulum (2 isi)

Kepentingan :

      Antara kepentingan kegiatan kokurikulum ialah kokurikulum dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar. Sesetengah pelajar tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Sebagai contohnya, ada pelajar yang tidak mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi setelah menyertai kegiatan kokurikulum, bakatnya terserlah dan terus bergiat dalam acara yang diminati, yang akhirnya menjadi juara di kelabnya. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan pada peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya negara.

       Selain itu, kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar. Semangat perpaduan ini adalah amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan makmur. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya, pelajar berbilang kaum mewakili pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam pasukan bola sepak. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana bersatu teguh bercerai roboh.
      
Langkah :

        Antara langkah yang perlu dilaksanakan ialah pihak sekolah perlulah menjalankan pemantauan terhadap aktiviti kokurikulum dari masa ke masa. Tindakan ini perlu dilakukan kerana banyak aktiviti kokurikulum di sekolah dijalankan bagai melepaskan batuk di tangga sahaja. Pelajar berasa kecewa kerana kegiatan yang dijalankan tidak menarik minat mereka. Kegiatan yang dijalankan hanya untuk memenuhi jadual. Sebagai contohnya, pelajar datang ke sekolah hanya bermain bola sepak tanpa bimbingan secara sistematik. Mereka berpendapat bahawa mereka tidak perlu datang untuk bermain bola sepak, sebaliknya mereka boleh bermain di kawasan taman tempat tinggal mereka. Oleh itu, pihak sekolah mestilah memastikan bahawa aktiviti yang dijalankan mestilah benar – benar mendatangkan manfaat kepada mereka.               
                                                                              
       Selain itu, pihak sekolah seharusnya menubuhkan lebih banyak persatuan dan kelab yang baharu yang sesuai dengan minat dan kemahiran para pelajar. Sejajar dengan perkara ini, pihak sekolah sepatutnya menjalankan kajian tentang minat pelajar dalam jenis aktiviti kokurikulum yang ingin diceburi dan seterusnya berusaha untuk membentuk kelab atau persatuan demi kebajikan pelajar. Dengan itu, para pelajar akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk menyertai aktiviti kokurikulum yang diminati. Sebagai contohnya, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab komputer untuk pelajar yang meminati bidang teknologi maklumat. Hal ini sememangnya akan dapat menarik minat para pelajar untuk bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum tersebut kerana tak kenal maka tak cinta.

PENUTUP
                                                                    
       Kesimpulannya, terdapat banyak faedah menyertai kegiatan kokurikulum. Pihak sekolah hendaklah mengadakan aktiviti yang menarik untuk menggalakkan pelajar menyertainya. Ibu bapa pula hendaklah menggalakkan anak-anak mereka terlibat dengan kegiatan kokurikulum. Oleh itu, kita dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang. pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Selain itu, kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa harus diperkukuh supaya segala aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.