SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU MOHD KARIZAM DAN SEMOGA ANDA SEMUA MENDAPAT MANFAAT HASIL DARIPADA BAHAN YANG DIPAPARKAN DALAM BLOG INI.

Monday, 3 September 2012

Tinggal Ibu Lumpuh di Hotel Bajet

KUALA LUMPUR: Menitis air mata seorang ibu yang lumpuh apabila menyedari dirinya ditinggal terbiar oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, di sini, sejak empat hari lalu.
Dia kini dijaga kakitangan hotel berkenaan yang membantunya menguruskan diri termasuk mandi dan mengganti lampin pakai buang selepas anaknya gagal dikesan.
Warga emas itu mulanya tinggal bersendirian di kampungnya di Johor, tetapi sejak sebulan lalu anaknya yang masih bujang membawanya ke ibu kota.
Faridah Maulud, 66, yang keseorangan ditemui pekerja hotel dalam keadaan meniarap di lantai ketika memeriksa bilik disewa anaknya selepas lelaki berusia 27 tahun itu gagal menjelaskan bayaran empat hari hingga menimbul tanda tanya kepada pengurusan hotel.

Ketika ditemui Harian Metro semalam, warga emas itu kelihatan lemah dan tidak bermaya serta berkali-kali memaklumkan dia ingin ke rumah kebajikan kerana tidak mahu menyusahkan staf hotel yang membantunya.

Sumber : 

Isu Pengabaian Ibu Bapa


Pendahuluan

      Pepatah Melayu yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit”mungkin sesuai untuk di bincangkan bagi isu golongan warga emas yang kian terabai, kurang bernasib baik dan kebajikan golongan ini juga diabaikan oleh semua pihak. Dalam hal ini, kita sering tertanya-tanya tentang sebab-sebab golongan warga emas ini diabaikan dan sentiasa dilupakan oleh semua lapisan masyarakat. Menjaga warga tua atau ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan masalah individu sahaja bahkan ia melibatkan semua pihak terutamanya institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan. Pengorbanan ibu bapa tidak ternilai harganya jadi apa salah anak-anak menjaga dan menatang bagai minyak yang penuh seperti mereka menjaga anak-anak semasa kecil dulu. Lagipun dalam tuntutan agama pun ia cukup jelas menuntut kita sebagai anak harus menjaga ibu bapa lebih-lebih lagi yang berumur. Menjaga ibu bapa yang sakit ketika diambang maut dan juga menguruskan jenazah merupakan tanggungjawab yang dituntut oleh agama. Namun, hari ini ramai anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan atau membiarkan sahaja mereka sendirian. Hal ini demikian kerana disebabkan oleh banyak faktor yang mempengaruhinya, justeru itu juga masalah ini harus dibendung supaya tidak menjadi lebih teruk lagi di masa akan datang.

Faktor-faktor

      Golongan warga emas yang terabai dan diletakkan di bawah penjagaan rumah kebajikan merupakan satu perbuatan yang tidak bermoral oleh anak-anak. Dalam hal ini, kita sering tertanya-tanya tentang sebab-sebab mengapa mereka diabaikan. Oleh itu, tentu terdapatnya  faktor tertentu yang menyumbang ke arah berlakunya masalah ini. Salah satu faktornya yang paling ketara ialah sikap manusia itu sendiri. Segelintir manusia memandang hina terhadap golongan ini, mereka menganggap warga emas tidak berguna lagi malah membebankan. Oleh itu, anak-anak lebih gemar menghantar ibu bapa mereka kerumah kebajikan. Di samping itu, masyarakat itu sendiri juga memandang serong terhadap warga emas yang kurang bernasib baik sekali gus menyisihkan mereka. Perbuatan ini dianggap tidak bermoral terutamanya anak-anak yang derhaka. Ibu bapa telah membesarkan anak-anak dengan bersusah payah namun apakah yang diperoleh oleh mereka semasa tua dan tidak bertenaga lagi? Tentunya mereka akan berasa sakit hati apabila dilayan sedemikian. Selain itu, kita haruslah faham bahawa mereka yang kurang bernasib baik sudah cukup malang dan janganlah menambahkan lagi keperitan itu. Dalam situasi ini bukankah masyarakat sepatutnya memberikan kasih sayang kepada mereka? Namun, yang berlaku dalam realiti kehidupan ini ialah masyarakat tidak ada pun rasa belas kasihan atau menunjukkan simpati bahkan menyisihkan mereka dan menjadikan mereka sebagai bahan gurauan dan cacian.

      Bukan itu sahaja, anak-anak juga sering memandang ringan terhadap orang tua mereka. Mereka menganggap ibu bapa telah tua tidak berguna dan berjasa lagi. Mereka tidak terfikir tentang jasa-jasa yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sehingga anak-anak dapat menikmati kesenangan seperti yang dinikmati hari ini. Ingatlah, mereka amat berpengalaman dan segala pandangan, nasihat serta tunjuk ajar mereka patut dihargai dan dijadikan pedoman hidup. Selain itu, yang menyebabkan orang tua diabaikan sehingga ada anak-anak yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau membiarkan mereka tinggal sendirian ialah disebabkan kecacatan, nyayuk, tidak bersefahaman diantara anak atau menantu dengan ibu bapa, kesibukkan anak dengan tugas harian dan masalah kewangan. Tidak sewajarnya meletakkan orang tua dirumah kebajikan kerana ia bermakna menderhakai dan mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang anak lebih-lebih lagi anak itu lelaki. Anak-anak harus bijak untuk memohon maaf kepada ibu bapa walaupun atas hal-hal yang tidak seberapa. Hal ini mereka menganggap memohon maaf pada ibu bapa adalah satu kesalahan dan tidak wajar.


      Dari aspek lain pula, punca pengabaian warga tua juga disebabkan oleh tindakan ibu bapa itu sendiri. Pengabaian terhadap ibu bapa disebabkan pengalaman anak-anak itu sendiri di alam kanak-kanak, mungkin semasa kecil kedua ibu bapa mereka bersikap bengis, suka mendera Maka, anak-anak akan bertindak balas dan menyimpan perasaan untuk membalas dendam terhadap kedua ibu bapa mereka yang dianggap kejam itu. Oleh itu, salah satu cara untuk memuaskan hati mereka ialah dengan mengabaikan kebajikan dan kesihatan kedua ibu bapanya.

Langkah-langkah mengatasi

      Masalah pengabaian warga tua disebabkan oleh banyak faktor, namun masalah ini masih boleh dibendung dan diatasi. Tamadun manusia walau apapun agamanya, ia akan meletakkan kedudukan yang paling tinggi kepada yang lebih tua terutamanya kedua ibu bapa. Tamadun itu semakin hari semakin di telan arus pembangunan. Akibatnya anak-anak yang sudah berkeluarga bukan sahaja tidak lagi berminat tinggal bersama ibu bapa malah jumlah ini semakin meningkat di kalangan anak-anak yang bekerja. Langkah untuk mengatasi masalah ini ialah sikap manusia haruslah baik dimana manusia perlu mengikis sifat memandang remeh kepada orang tua yang kurang bernasib baik dan juga anak-anak perlu membuang sifat memandang hina kepada ibu bapa yang dianggap  semakin tua semakin tidak berguna dan tidak perlukan lagi. Masyarakat haruslah mengubah sikap dengan mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu isi rumah yang merangkumi ibu bapa, anak-anak dan datuk nenek atau anggota keluarga yang lain, secara tidak langsung dapat memupuk rasa tanggungjawab, perasaan kasih sayang, sokongan  dan ikatan kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua.

      Langkah kedua, anak-anak haruslah diberi didikan agama dan pendedahan dari awal lagi tentang menghormati ibu bapa. Anak-anak yang diberi didikan agama dari kecil  lagi akan dapat mengelakkan daripada ibu bapa disisih. Anak-anak yang mempunyai asas agama akan ada rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang berumur. Selain didikan agama yang diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi pendidikan moral juga perlu diterapkan disekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan agama yang dihubungkan dengan memperbanyakkan konsep inter-generasi dimana agensi atau pusat penjagaan haruslah menyediakan penjagaan kepada penjaga perlulah diwar-warkan agar mereka lebih sedar tentang sumber yang boleh didapati terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Selain itu, kerajaan perlu menyediakan satu system pendaftaran penjaga supaya segala bentuk bantuan dan program boleh disalurkan dengan mudah. Maknanya, kita akan tahu siapa yang menjaga siapa dalam masyarakat. Seterusnya kita juga harus mengadakaan kempen kesedaran tentang masalah yang berkaitkan warga tua seperti mengadakan hari ibu dan hari bapa. Hari ibu dan hari bapa harus disambut bagi menyanjung dan mengingati jasa dan pengorbanan mereka. Melalui hari ibu dan bapa ini ia sikit sebanyak akan menyedarkan golongan anak-anak yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka.

Kesimpulan

      Masalah pengabaian warga tua masih lagi di tahap rendah, namun perbuatan anak-anak tempatan seumpama itu tidak dapat diterima masyarakat di negara ini bahkan sangat memalukan dan dikesali. Oleh itu, setiap anak-anak hendaklah sentiasa menghormati dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa dan warga tua dengan memberikan kasih sayang dan memastikan kesempurnaan hidup mereka terjamin dan janganlah sesekali mengabaikan dan mensia-siakan hidup mereka serta selalulah mendoakan mereka agar sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T.


Sumber : 
Sosial..

Sunday, 2 September 2012

Kepentingan Perpaduan


     'Bagai aur dengan tebing' merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum namun semangat tolong-menolong sesama masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara. Bertitik tolak daripada sikap saling menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'.

    Kepentingan perpaduan ialah perpaduan dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai ranjau berduri yang dilalui oleh generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan. Hasil perpaduan masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang berganding bahu menuntut kemerdekaan telah membuka mata pihak Inggeris supaya memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Implikasinya, masyarakat kini hidup harmoni tanpa gangguan dan kongkongan penjajah. Perpaduan yang telah wujud kini adalah warisan daripada warisan nenek moyang yang harus dikekalkan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

     Selain itu, perpaduan kaum juga dapat mengelakkan semangat assabiah iaitu semangat kekitaan yang hanya mementingkan diri sendiri ala 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'. Semangat assabiah ini akan menimbulkan permusuhan antara kaum. Hasilnya, Malaysia dapat menjadi contoh terbaik kepada negara lain seperti negara Amerika Syarikat yang mengamalkan Dasar Aparteid. Dasar Aparteid ialah dasar yang mewujudkan jurang perbezaan antara golongan berkulit putih dengan golongan berkulit hitam. Akibatnya, wujudlah pelbagai masalah sosial yang melibatkan perkauman berdasarkan warna kulit. Sebagai iktibar, masayarakat Malaysia wajar mengekalkan perpaduan demi mengelakkan semangat assabiah terjadi di atas bumi Malaysia ini.

    Di samping itu, kepentingan perpaduan yang lain pula ialah perpaduan dapat membangunkan ekonomi negara. Perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi dapat hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung. Selaras dengan itu, ekonomi negara akan berkembang dengan kemasukan palancong asing. Masyarakat Malaysia juga dapat berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Pelabur dari luar negara juga akan berminat untuk melabur di Malaysia. Rentetan itu, perpaduan kaum yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara akan menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.

     Konklusinya, pihak kerajaan perlulah mengadakan pelbagai program atau aktiviti yang dapat memupuk semangat perpaduan kaum. Masyarakat Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam memupuk perpaduan kaum supaya negara kekal dalam kemerdekaan. Semoga 52 tahun kemerdekaan pada tahun ini akan meningkatkan kesepakatan masyarakat untuk menobatkan Malaysia agar gah dan popular di seluruh sarwajagat ini. Laungan 'Malaysia Boleh' perlu diteruskan agar semangat warganegara Malaysia ini digeruni oleh negara luar. 

USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN KAUM RAKYAT MALAYSIA 

     Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain , namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni “Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita. 

    Sebenarnya, kita bolehlah mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah menegaskan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat; perpaduan merupakan kekuatan negara. Oleh sebab itu, saya percaya bahawa jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati pembangunan nusa tercinta ini bersama-sama. 

   Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Amalan rumah terbuka juga boleh dipraktikkan untuk memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia dengan amalan saling memaafkan sesama insan. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh. 

       Seterusnya, pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.

     Di samping itu, kita juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaa . Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan pemuda-pemuda yang tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan. Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil. 

    Tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah dasar 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Saya yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia mengenali peribahasa ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Ingatlah wahai rakyatku bahawa semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agar Wawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata. 


Langkah-langkah dan Kepentingan Memupuk  Perpaduan Kaum

Pengenalan

Perpaduan kaum amat penting kepada kita.
- teras keharmonian dan kesejahteraan
- wajar dikekalkan daripada satu generasi ke satu generasi

ISI UTAMA

1. Mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan .
- gotong royong,,hari keluarga dan pelbagai lagi
- masyarakat tanpa mengira kaum turut sama berganding bahu

2. Budaya rumah terbuka dalam sesuatu perayaan.
- pelbagai bangsa akan hadir berkongsi kegembiraan
- bertukar-tukar fikiran dan saling mengenali

3. Menubuhkan rukun tetangga di taman-taman perumahan
- mengadakan rondaan keselamatan bersama-sama
- meningkatkan tali silaturahim sesama masyarakat

4. Keharmonian hidup akan terjamain.
- tidak berlaku rusuhan kaum seperti di negara- negara luar
- aktiviti seharian berjalan dengan aman dan tenang

5. Imej negara di mata dunia akan meningkat.
- negara yang harmoni walaupun didiami oleh masyarakat majmuk
- menggamit kedatangan para pelabur dan pelancong

6. Pembangunan yang dirancang berjalan dengan baik
- tiada unsur khianat dan dengki antara kaum
- malah antara kaum sama-sama berganding bahu dalam pelbagai sektor

Penutup

Perpaduan hidup amalan di Malaysia.
- Perdana Menteri telah melancarkan Program 1 Malaysia
- tujuannya hanya satu dalam mempertingkat perpaduan yang sedia ada.

Monday, 28 May 2012

Esei Pengajian Am (Latihan Untuk Pra-U Baharu 6BK/6BS 2012 )

 1. Aplikasi Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) penting dalam pembangunan
sumber manusia dan penyalahgunaannya akan memberi kesan yang sebaliknya.
Bincangkan.

2. Kawasan tanah tinggi adalah penting kepada kehidupan dan alam sekitar. Namun,
penerokaan tanpa kawalan akan menimbulkan pelbagai kesan. Bincangkan.