SELAMAT DATANG KE BLOG CIKGU MOHD KARIZAM DAN SEMOGA ANDA SEMUA MENDAPAT MANFAAT HASIL DARIPADA BAHAN YANG DIPAPARKAN DALAM BLOG INI.

Saturday, 27 July 2013

SUKATAN PENGGAL 3

KONSEP KAWASAN AMAN, BEBAS & BERKECUALI (ZOPFAN) DI ASIA TENGGARA

 Latar belakang :

Sebagai blok yang boleh disifatkan bukan komunis di Asia Tenggara, ASEAN sebenarnya lebih berpegang kepada dasar berkecuali. Malaysia telah menyarankan supaya diwujudkan 'kawasan awam, bebas dan berkecuali (Zone of peace, Freedom and Neutrality atau ZOPFAN) telah diterima sebagai pendirian ASEAN. Konsep dan dasar ini telah diumumkan melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada 27hb. November, 1971.

Rasional :

Beberapa faktor dan peristiwa penting yang telah berlaku di Asia Tenggara telah mendorongkan timbulnya konsep ZOPFAN ini. Faktorfaktor dan peristiwa itu ialah:

a)  Kedudukan Asia Tenggara yang agak strategik kepada kuasa‐kuasa besar dalam konteks ketegangan politik Timur‐Barat; pergolakan politik di Vietnam serta keputusan pengunduran tentera‐tentera British dari Asia Tenggara dan Amerika dari Vietnam pada awal 70an. Perkembangan‐perkembangan tersebut telah menimbulkan kecurigaan di kalangan Negara-negara ASEAN, kerana ia mungkin menjejaskan kestabilan serantau.

b)  Peperangan‐peperangan di Korea dan di Vietnam telah menyakinkan ASEAN bahawa campur tangan dan sokongan tentera kuasa‐kuasa besar dalam pertelingkahan Negara-negara kecil Asia Tenggara sering menjejaskan kestabilan di rantau ini.

c)   Semangat 'regionalisme' masa itu telah menghasilkan pertubuhan kerjasama ekonomi serantau ASEAN yang dapat digunakan sebagai jentera untuk mencapai tujuan ZOPFAN.

Objektif :

Objektif ZOPFAN adalah untuk menjadikan Asia Tenggara satu kawasan yang aman, bebas dan berkecuali daripada pertelingkahan politik kuasa‐kuasa besar khususnya Amerika Syarikat, Russia dan Republik Rakyat China.

Strategi Pelaksanaan :

Antara strategistrategi utama yang telah digubal dan dilaksanakan untuk mencapai objektif tersebut adalah:

a)   Mendapatkan persetujuan, pengiktirafan dan jaminan kuasa‐kuasa besar tentang objektif  atau usaha menjadikan kawasan tersebut aman.

b)   Mengundurkan tentera asing dari kawasan Asia Tenggara dalam jangka panjang.

c)   Menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai kawasan yang bebas daripada senjata nuklear.

Penutup :

Dapat dirumuskan bahawa ZOPFAN tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kesanggupan kuasakuasa besar untuk mengiktiraf dan menjamin ZOPFAN dan sokongan padu kesemua anggota negara-negara ASEAN. Walau bagaimanapun, usaha ASEAN mencari penyelesaian politik di Kampuchea berdasarkan Resolusi Pertubuhan Bangsa‐Bangsa Bersatu dan Deklarasi Persidangan Antarabangsa mengenai Kampuchea (1981) mencerminkan tekad ASEAN untuk terus berusaha mencapai konsep ZOPFAN.

Sumber : http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar

Thursday, 18 July 2013

Institusi Pendidikan


INSTITUSI PENDIDIKAN SEBAGAI PEMANGKIN SEKTOR PELANCONGAN

Malaysia semakin terkenal di kalangan pelajar asing sebagai destinasi pilihan utama bagi pengajian tinggi dan lanjutan. Kini, para pelajar dan cerdik pandai dari serata dunia membentuk komuniti pelajar yang menyumbang pelbagai budaya dan bahasa di Malaysia.
Salah satu sebab penting Malaysia menjadi destinasi pengajian pilihan utama ialah kadar sara hidup yang rendah serta tahap kualiti kehidupan yang tinggi. Ini diperkuatkan lagi dengan adanya teknologi dan peralatan bantuan pembelajaran yang canggih di sini. Tambahan lagi, penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan mesra memudahkan pelajar asing untuk mengenali lebih mendalam perihal berkaitan penduduk, tradisi dan budaya yang ada sambil mereka meneruskan pembelajaran mereka.
Malaysia mempunyai lebih dari 600 institusi pengajian awam dan swasta yang menawarkan pengajian di tahap pra-universiti hingga tahap universiti. Ini termasuk institusi pengajian tempatan dengan gabungan pelbagai pusat pengajian luar negara, serta beberapa cawangan kampus universiti luar negara yang tersohor. Kelayakan yang diterima dari cawangan-cawangan seperti ini adalah setaraf dengan kelayakan yang diterima di kampus induk pusat pengajian tersebut.
Terdapat juga beberapa buah institusi pengajian tinggi tempatan yang telah berjaya menempah nama di persada dunia seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Multimedia. Di Malaysia juga terdapat institusi pengajian tinggi berprestij yang telah lama bertapak seperti Universiti Malaya di Kuala Lumpur dan Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. Tambahan lagi, beberapa buah pusat pengajian tinggi antarabangsa telah bergabung bagi mewujudkan program berkembar dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia dan kini, institusi seperti Monash, Nottingham dan lain-lain menawarkan pilihan kepada para pelajar untuk memilih samada menyempurnakan seluruh pengajian mereka di Malaysia atau di negara luar seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom. Kelebihan yang boleh diperolehi di Malaysia sekiranya mereka ingin menghabiskan tempoh pembelajaran ialah penjimatan kos pengajian tanpa menjejaskan kualiti pengajian.
Malaysia mempunyai pilihan meluas bagi pengajian yang berkualiti tinggi pada kos yang amat berpatutan serta kursus-kursus yang ditawarkan telah diiktiraf antarabangsa. Hasilnya, kini terdapat beribu pelajar dari lebih kurang 100 buah negara yang sedang belajar di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Pelajar yang sedang membuat pertimbangan untuk belajar di Malaysia tetapi belum membuat sebarang keputusan berpeluang mengambil bahagian di dalam beberapa program pelancongan pelajar yang akan mendedahkan mereka kepada negara ini, mendekati penduduknya dan pilihan pusat-pusat pengajian tinggi yang ditawarkan. Program ini bukan sahaja berjaya membantu pelajar membuat keputusan mengenai pengajian mereka, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk menikmati percutian di destinasi yang paling indah dan mempesona di dunia.

Friday, 5 October 2012


KEBAIKAN SUKAN KEPADA NEGARA

SUKAN merupakan satu lapangan yang merangkumi semua aktiviti kecerdasan dan kemahiran dalam sesuatu permainan. Marcapada, sukan sering menjadi keutamaan bagi menghiasi dada akhbar dan bukan saja melibatkan kejohanan tempatan malahan di peringkat global. Acara sukan serta kejohanan-kejohanan berprestij merupakan antara program yang sangat penting dan wajib diadakan sama ada setahun sekali, dwi-tahunan, empat tahun sekali atau sebagainya. Bertitik tolak daripada itu, pelbagai kejohanan sama ada peringkat domestik ataupun antarabangsa pernah dianjurkan oleh Malaysia seperti SUKMA, sukan SEA, dan sukan Olimpik semata-mata  untuk memartabatkan sukan di mata masyarakat.
Seperti yang kita maklum, kita telah melahirkan atlet-atlet Malaysia yang sememangnya berwibawa dan mampu menjadi ayam tambatan serta intan yang berkilauan dan memancar kebanggaan pemiliknya. Kita dapat lihat hasilnya seperti Dato’ Nicol Ann David, ratu skuasy negara, Dato’ Lee Chong Wei, pemain badminton terkemuka dunia, Azizulhasni Awang, permata dalam dunia berbasikal dan Pandalela serta Daniel Bego, atlet renang kita yang telah banyak menempah kejayaan. Kewibawaan dan kesungguhan mereka menjadi inspirasi selain menmanfaatkan peluang yang berharga untuk berbakti kepada negara dalam bidang masing-masing.
Selain itu, bagi menyedarkan generasi seterusnya supaya tidak terus hilang apabila atlet sekarang bersara kelak, anak jati Malaysia ini haruslah membuktikan bahawa mereka mampu memperturunkan ilmu yang berguna supaya ia tidak luput ditelan zaman.
Jika dilihat dari segi ekonomi pula, negara mampu mengaut keuntungan yang lumayan melalui penganjuran sukan Komanwel pada tahun 1998. Hal ini sedemikian kerana, pengaliran wang dari seluruh negara-negara ke Malaysia menyebabkan pertukaran wang asing yang seterusnya memberi kelebihan kepada kita. Sementelahan lagi, jualan tiket bagi setiap acara dalam kejohanan  juga mampu membawa kepulangan yang lumayan kepada negara dan boleh digunakan sebagai dana untuk pembagunan sosial dan mempertingkatkan lagi mutu sukan negara agar dapat bersaing dengan negara luar. Justeru, pelaburan yang dilakukan untuk menganjurkan acara sukan yang lebih banyak memberi  kesan yang positif terhadap sesebuah negara.
Kesimpulanya, sukan bukan sahaja sebagai medan untuk berperang dalam mempamerkan skil atau kemahiran permainan tertentu melibatkan pelbagai acara, malah menjadi platform yang boleh menghasilkan lebih banyak faedah, manfaat dan kebaikannya. Oleh sebab itu, wajarlah sesebuah masyarakat dunia  khususnya di Malaysia mengambil berat atau prihatin terhadap pembangunan sukan. Dalam hal ini, perkembangan dunia sukan dianggap sangat bermanfaat kepada sesebuah negara yang sanggup memperuntukkan berjuta-juta ringgit serta pelbagai dana sebagai pelaburan jangka panjang. Oleh itu, ayuhlah kita sahut cabaran dan seruan kerajaan bagi menjayakan dan meningkatkan taraf sukan negara ke tahap yang paling optimum.
 
Kes Ragut : Ahli Perniagaan Wanita Kerugian
RM30 ribu di Kuantan
 
5 OKTOBER 2012 KUANTAN : Seorang wanita yang ingin bertemu seorang rakan atas urusan perniagaan di depan sebuah sekolah di sini, kerugian RM30,000 selepas wang tunai yang diletak di kerusi penumpang depan keretanya dilarikan seorang peragut bermotosikal.

 Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintenden Abdul Aziz Ahmad berkatamangsa, 20-an, seorang ahli perniagaan sebelum itu mengeluarkan wang tunaiberkenaan di sebuah bank di Jalan Beserah. "Mangsa kemudian memandu ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Chai dekatsini untuk bertemu rakannya itu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ketika menunggu rakannya di dalam kereta, mangsa dihampiri seorang suspek yang bertindak memecahkan cermin di bahagian penumpang depan. Abdul Aziz berkata kejadian 1.10 tengah hari semalam itu turut disaksikan orang ramai yang sedang menunggu anak mereka pulang dari sekolah berkenaan.

"Mangsa dipercayai diekori suspek yang sebelum itu mengeluarkan sejumlah wang tunai dari bank, sebaik sahaja mencapai beg yang berada atas kerusi penumpang, suspek terbabit kemudian melarikan diri menuju ke arah rakannya yang sedang menunggu.

"Kedua-dua suspek lelaki itu melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya.
Abdul Aziz berkata mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Indera Mahkota.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,"katanya.